Kerjasama CGH dengan Hjh Maimunah sedia hidangan tradisional untuk pesakit
Kerjasama CGH dengan Hjh Maimunah sedia hidangan tradisional untuk pesakit
Pesakit Hospital Besar Changi (CGH) kini berpeluang menikmati sajian tradisional Melayu melalui hidangan istimewa daripada restoran nasi padang terkenal, Hjh Maimunah, yang ditawarkan sebagai pilihan makanan hospital.
Sejak awal Januari lalu, beberapa menu ikonik Hjh Maimunah seperti asam pedas dan masak merah disediakan khusus untuk pesakit, dengan resipi yang diubah suai agar menepati keperluan pemakanan serta kesihatan mereka sepanjang tempoh rawatan.
Dalam satu kenyataan pada 27 Januari, CGH menjelaskan bahawa kerjasama ini bertujuan menyediakan hidangan yang bukan sahaja berkhasiat, malah mampu memberikan keselesaan emosi melalui cita rasa tradisional yang dekat di hati pesakit, terutama ketika berdepan pengalaman mencabar di hospital.
Berbeza daripada kontrak perkhidmatan makanan hospital yang biasa, cef CGH bekerjasama secara langsung dengan pihak restoran tersebut untuk menyesuaikan resipi asal, termasuk sos dan ramuan istimewa restoran itu.
Menurut Cef Eksekutif Kanan CGH, Encik Daniel Yeo Lee Huat, penyesuaian dibuat berdasarkan garis panduan pemakanan pesakit, antaranya dengan mengurangkan kandungan sodium, menggunakan lebih banyak bahan semula jadi seperti bawang merah, daun bawang dan rempah-ratus, serta mengubah suai resipi supaya lebih rendah lemak.
“Kami menggantikan penggunaan santan dengan susu rendah lemak bagi memastikan hidangan kekal enak tetapi lebih sesuai untuk kesihatan pesakit,” katanya.
Pakar pemakanan hospital turut terlibat dalam menyemak kandungan nutrisi dan saiz hidangan bagi memastikan sajian tersebut memenuhi keperluan diet pesakit tanpa menjejaskan rasa.
Ketua Jabatan Dietetik CGH, Cik Ong Li Jiuen, berkata makanan memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi pemakanan, malah sebagai sumber keselesaan kepada pesakit.
“Hidangan yang biasa dinikmati di luar hospital, apabila disajikan semasa rawatan, boleh meningkatkan pengalaman penjagaan pesakit,” katanya.
Menurut beliau, makanan juga menyumbang kepada kesejahteraan mental dan selera makan, yang seterusnya memberi kesan positif terhadap proses pemulihan.
Selain Hjh Maimunah, CGH turut bekerjasama dengan beberapa restoran lain termasuk Crystal Jade sebagai sebahagian usaha memperkaya pilihan makanan pesakit. Inisiatif ini merupakan kali pertama CGH menjalin kerjasama dengan restoran-restoran utama bagi penyediaan hidangan hospital.

