Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mengapa semakin banyak hospital S’pura benarkan penjaga bermalam bersama pesakit

Nov 25, 2025 | 6:59 PM
Cik Ismiati Yahya (kiri) menyuapkan suaminya, Encik Abdul Hassan Mohamed Yusof (kanan), di Hospital Masyarakat Jurong (JCH).
Cik Ismiati Yahya (kiri) menyuapkan suaminya, Encik Abdul Hassan Mohamed Yusof (kanan), di Hospital Masyarakat Jurong (JCH). - Foto ST

Selepas suaminya diserang angin ahmar pada 22 September, Cik Ismiati Yahya, 56 tahun, tidur di sebelah katil hospital Encik Abdul Hassan Mohamed Yusof, 63 tahun, selama hampir tujuh minggu sehingga beliau dibenarkan keluar pada 7 November.

Beliau hanya beredar untuk membeli makanan atau mandi di bilik mandi khas berhampiran wad.

Beliau dapat berada di sisi suaminya melalui program Partner To Care di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) dan Hospital Masyarakat Jurong (JCH), yang membantu penjaga mempelajari kemahiran penjagaan di rumah.

Lebih 4,000 penjaga telah dilatih sejak 2023, lapor The Straits Times (ST).

Cik Ismiati belajar cara memberi mandian span, menyuapkan cecair pekat dan memerhati fisioterapi serta terapi pertuturan suaminya.

Encik Abdul Hassan berkata kehadiran isterinya sangat menenangkan ketika beliau hampir tidak mampu bergerak atau bercakap.

“Saya gembira kerana orang yang saya percaya ada bersama saya,” katanya sambil bergurau isterinya “menyeksanya” supaya berusaha dalam pemulihan.

Dalam lima tahun kebelakangan ini, lebih banyak hospital membenarkan penjaga bermalam, termasuk Hospital Alexandra (AH), JCH, Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), NTFGH, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Tan Tock Seng (TTSH) serta Hospital Masyarakat Yishun (YCH).

Doktor berkata penglibatan penjaga membantu meningkatkan hasil rawatan.

Apabila keluar dari JCH, Encik Abdul Hassan sudah boleh duduk di kerusi geriatrik dan menggunakan kerusi roda.

“Kami sangat bersyukur. Hospital banyak membantu,” katanya.

Pandemik Covid-19 menunjukkan kesan negatif larangan lawatan, dan sejak itu hospital melanjutkan waktu melawat serta menggalakkan penjaga bermalam.

Penjaga membantu menenangkan pesakit yang menghidap demensia atau delirium dan memberikan sokongan emosi.

Jururawat berkata penjaga wajar dilibatkan awal untuk mempelajari tugas harian seperti memandikan, membantu ke tandas dan menyuapkan makanan, serta mengenal pasti simptom yang memerlukan perhatian perubatan.

AH kini dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam manakala TTSH dari 12 tengah hari hingga 8 malam, lebih panjang berbanding sebelum ini.

Di AH, penjaga boleh tidur di katil lipat, menggunakan bilik mandi khas dan membeli makanan bersama pesakit.

Encik Abdul Malik Ibrahim, 62 tahun, dirawat di NTFGH selama 10 bulan akibat denggi dan pembedahan usus.

Isterinya, Cik Siti Hala Kassim, 62 tahun, pada awalnya bimbang, namun bimbingan pasukan rawatan mengenai penjagaan stoma, susunan rumah dan keperluan kerusi roda menguatkan keyakinannya.

Di KTPH, pasukan rawatan dan pekerja sosial perubatan membantu Cik Rosemary Ng, 70 tahun, membeli katil hospital, kerusi geriatrik dan alat bantu jalan untuk suaminya Peter, 71 tahun, yang menghidap Parkinson.

Subsidi, jagaan harian dan penjagaan rehat turut diatur, termasuk sesi dengan psikoterapis khusus untukyna.

Dengan lonjakan warga emas, keperluan penjagaan kian mendesak. Cik S. Susheela Devi, 62 tahun, yang menjaga ibunya yang menghidap demensia, mendapat sokongan padu Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan SG Assist.

Beliau mengikuti kursus penjagaan dan bekerja sambilan sebagai pembimbing ingatan.

Beliau juga menyulam sebagai penjagaan diri serta berhubung dengan ibunya melalui kraftangan tersebut.

“Semua ini membantu saya berhubung dengan ibu dan menjadi penjaga lebih penyabar,” katanya.

Cik Fortuna Tan, 53 tahun, pernah menjadi penjaga utama ibu mertuanya yang meninggal dunia pada 2024.

Beliau berkata peranan pembantu rumah sering dipandang ringan.

“Jaga pembantu anda. Mereka melakukan lebih daripada kita,” katanya,

Beliau turut menyertai program sokongan penjaga anjuran Home Nursing Foundation dan TTSH, serta inisiatif sokongan penjaga oleh Salvation Army dan AIC.

Beliau juga menekankan pentingnya meminta bantuan, memaafkan diri dan menjaga kesihatan.

“Kita perlu menjaga diri untuk menjaga orang yang kita sayangi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg