Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama global perlu dipertingkat dalam tangani kesan perubahan iklim

SM Teo: S’pura akan persiap ekonomi bagi rebut peluang dalam dunia rendah karbon, lindungi warga dari kesan pemanasan global
May 6, 2025 | 4:09 PM
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, menyampaikan ucaptamanya pada Minggu Ecosperity di Marina Bay Sands pada 6 Mei.
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, menyampaikan ucaptamanya pada Minggu Ecosperity di Marina Bay Sands pada 6 Mei. - Foto ZAOBAO

Walaupun terdapat perubahan dalam kitaran pilihan raya dan pentadbiran, tindakan terhadap iklim semakin memerlukan kerjasama global dan Singapura akan terus mencari rakan untuk bekerjasama dalam hal ini, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, pada 6 Mei.

Singapura tidak mengetahui tindakan yang akan diambil negara luar mengenai isu perubahan iklim, tetapi Encik Teo menegaskan kesan perubahan iklim sudah pun dirasai.

“Perubahan iklim tidak akan menunggu kita. Semakin lama kita menangguhkannya, ia jadi semakin sukar,” kata Encik Teo dalam ucaptama beliau di Minggu Ecosperity anjuran Temasek. 

Beliau juga menegaskan Singapura akan memastikan emisi dikurangkan dan bekerjasama dengan negara lain demi masa depan iklim, lapor The Straits Times (ST).

Singapura juga akan mempersiapkan ekonominya dengan merebut peluang dalam dunia rendah karbon dan melindungi rakyat daripada kesan pemanasan global, kata Encik Teo, yang mempengerusikan Jawatankuasa Perubahan Iklim.

Kenyataan ini dibuat di tengah-tengah perubahan geopolitik yang menyebabkan isu iklim dipinggirkan seperti keputusan Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Paris dan Indonesia yang menganggap perjanjian itu tidak relevan lagi.

Perjanjian Paris bertujuan mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius di atas paras praperindustrian.

“Dalam keadaan ini, seruan untuk mengurangkan atau menangguhkan aspirasi iklim tidak mengejutkan,” tambah Encik Teo.

Pemerintah dan perniagaan kini fokus kepada isu segera seperti mengekalkan pekerjaan dan memperkukuh rizab untuk menghadapi sebarang kejutan, katanya.

“Namun, kejayaan jangka panjang memerlukan perhatian terhadap keperluan hari ini dan juga masa depan,” ujar Encik Teo.

Beliau berkata perbincangan global kini beralih daripada persoalan sama ada manusia perlu bertanggungjawab terhadap perubahan iklim, kepada siapa yang perlu bertindak dan sejauh mana ia perlu dilakukan.

Di Asia Tenggara, masa depan rendah karbon boleh dicapai jika pemerintah, perniagaan dan pelabur bekerjasama lebih rapat, tambahnya.

Salah satu cara ialah melalui grid tenaga Asean untuk mempercepatkan peralihan tenaga serantau.

Grid tenaga Asean membolehkan perdagangan elektrik daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api serta meningkatkan ketahanan tenaga serantau.

Dengan pelaburan dan kerjasama merentasi sempadan, grid ini boleh meningkatkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) hingga 4.6 peratus dan mewujudkan ribuan pekerjaan, tambahnya.

“Asia Tenggara mempunyai potensi tenaga boleh diperbaharui yang besar, tetapi sambungan grid yang lemah menghalang tenaga bersih sampai ke tempat yang diperlukan,” katanya, menekankan kepentingan membangunkan infrastruktur yang boleh menggerakkan sejumlah besar tenaga elektrik dari tempat ia dijana ke tempat ia diperlukan.

Dalam dialog dengan Encik Dilhan Pillay, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek, Encik Teo berkata walaupun setiap negara Asean mempunyai kepentingannya, peluang kerjasama masih ada dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Encik Teo juga menekankan kepentingan mengisi jurang pembiayaan.

“Jika tenaga boleh diperbaharui akan menggerakkan masa depan yang lebih hijau, pembiayaan diperlukan untuk mempercepat peralihan ini.

“Tanpa pembiayaan yang mencukupi, usaha mengurangkan karbon akan terhenti,” kata Encik Teo.

Asia Tenggara menghadapi kekurangan dana lebih AS$210 bilion ($271.2 bilion) setahun hingga 2030, untuk pembiayaan hijau.

Dengan kekangan peruntukan yang dihadapi beberapa pemerintah dan keraguan sektor swasta, penyelesaian kewangan seperti pembiayaan campuran boleh merangsang kerjasama antara sektor awam dengan swasta.

Pembiayaan campuran menggabungkan sokongan kewangan awam dan derma untuk menarik pelaburan swasta.

Singapura membantu melalui Financing Asia’s Transition Partnership yang dilancarkan pada 2023 untuk mengumpul hingga AS$5 bilion bagi projek hijau.

“Kami berharap ini akan mendorong lebih banyak modal ke projek hijau yang sah,” kata Encik Teo.

Beliau juga mencadangkan pengembangan pasaran karbon, yang membolehkan negara membeli kredit karbon dari negara lain untuk memenuhi sasaran iklim.

Kredit ini boleh datang daripada penggunaan teknologi seperti penangkapan karbon atau projek berasaskan alam semula jadi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg