Usaha pertubuhan Melayu/Islam di Singapura memperkukuh kerjasama antara mereka, dan bersama agensi pemerintah, akan membolehkan badan ini menyokong masyarakat dengan lebih baik, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Semasa berucap di Dialog Masyarakat anjuran Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) pada 19 Julai, Dr Faishal berkata badan Melayu/Islam di sini mempunyai pengalaman, rangkaian dan sumbangan yang luas.
Oleh itu, dengan kerjasama lebih rapat, mereka dapat mengembangkan jangkauan dan mempertingkat kesan usaha mereka.
“Saya rasa tersentuh dengan sokongan dan semangat pertubuhan Melayu/Islam hari ini, di mana semua pihak ingin memainkan peranan, meningkatkan tahap kerjasama antara mereka dan juga bersama pemerintah,” ujarnya.
Dr Faishal menambah bahawa banyak badan Melayu/Islam telah bekerjasama sejak beberapa dekad lalu, mewujudkan rangkaian usaha yang mendalam dan boleh menyokong kesinambungan bantuan kepada masyarakat.
“Mereka ingin meneruskan perjalanan ini… untuk memainkan peranan yang lebih luas dan mendalam, serta mengadakan lebih banyak sesi perbincangan dan langkah bagi mengukuhkan lagi ekosistem dalam masyarakat kita,” katanya.
Selain Dr Faishal, anggota panel lain dalam sesi dialog itu termasuk Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohammad Azree Rahim dan Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, sebagai moderator.
Dialog yang bertema ‘Bagai aur dengan tebing’ bertujuan menggalak kerjasama rapat antara badan Melayu/Islam dengan masyarakat.
Encik Abdul Rahman berkata terdapat semangat yang semakin meningkat dalam kalangan badan Melayu/Islam untuk bekerjasama lebih erat dan mengelak daripada khidmat yang sama disampaikan oleh badan berbeza.
“Sekarang tempoh yang sibuk bagi badan Melayu/Islam. Masing-masing sedang cuba mengumpul dana, menganjurkan pelbagai aktiviti.
“Ramai antara kami berkawan, dan kami pernah berbincang bahawa kami perlu bekerjasama dengan lebih baik,” katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa bantuan kewangan kekal sebagai bentuk sokongan paling lazim, yang boleh menyebabkan bantuan sama disampaikan oleh badan berbeza kepada seseorang penerima.
“Bantuan kewangan sering diberikan secara meluas, tetapi sumber zakat adalah terhad. Dengan kerjasama, kita dapat memanfaatkan sumber ini dengan lebih berkesan dan mendekati lebih ramai orang yang memerlukan,” katanya lagi.
Encik Abdul Rahman menambah bahawa kerjasama badan Melayu/Islam perlu meliputi lebih daripada bantuan kewangan semata-mata.
Ia juga harus merangkumi sokongan terhadap belia, warga emas, golongan keperluan khas dan anak yatim.
“Rata-rata semua badan Melayu/Islam mahu memainkan peranan… dan ini peluang baik untuk berikan perkhidmatan yang lebih bernilai,” katanya lagi.
Beliau turut berkongsi bahawa terdapat beberapa badan Melayu/Islam sudah pun membentuk kumpulan kerja, dan berharap satu badan penyelaras rasmi dapat ditubuhkan dalam masa terdekat.
Seramai 75 hadirin daripada lebih 40 badan Melayu/Islam telah hadir di sesi dialog itu.
Antara hadirin dalam sesi dialog tersebut ialah Presiden Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Encik Ameerali Abdeali.
Beliau menyambut baik usaha memperkukuh kerjasama antara badan Melayu/Islam di Singapura.
“MKAC menantikan kerjasama yang lebih erat dengan MTFA serta badan Melayu/Islam lain demi memberikan khidmat yang lebih baik kepada pesakit buah pinggang, termasuk dari segi subsidi dan pengangkutan untuk sesi dialisis,” kata Encik Ameerali yang kini meneroka bentuk kerjasama yang lebih menyeluruh dalam penjagaan pesakit yang menjalani rawatan dialisis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg