Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isteri gagahi amanah jaga suami terlantar meski dibelenggu penyakit sendiri

Jul 6, 2025 | 6:10 PM
Keluarga susah, MTFA, GRC Marine Parade-Braddell Heights,
Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights, Cik Tin Pei Ling (paling kanan), bersama Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Dr Abdul Qader Al-Aidaroos (tengah), menyampaikan beg cenderahati kepada Cik Azizah Abdullah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sungguhpun menghidap kencing manis dan masalah buah pinggang, keadaan itu tidak sedikit pun menghambat semangat Cik Azizah Abdullah mencurah kasih sayang tidak terhingga demi menjaga suami tercinta, Encik Nazmul Hoque.

Apa tidaknya? Setelah 40 tahun mendirikan rumah tangga dan berpindah-randah rumah sejak lima tahun lalu kerana tiada tempat tinggal tetap, Cik Azizah, 64 tahun, berkata jerih payah yang dilalui sebenarnya lebih mengukuhkan jalinan kasih sayangnya bersama Encik Nazmul, 68 tahun.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) melalui panggilan telefon pada 6 Julai, ibu tiga anak berusia antara 33 dengan 40 tahun itu, menganggap suaminya sebagai tonggak dorongan baginya melanjutkan kehidupan.

“Daripada membeli barangan seperti lampin, susu, mandikan atau suapkan beliau, sayalah yang buat semua. Kadangkala, ada juga anak-anak datang bantu,” katanya.

Beliau menambah suaminya itu tidak dapat bergerak dan terlantar di katil, memandangkan beliau tidak lagi berkaki disebabkan pembedahan sekitar lima tahun lalu (2020).

Mentelah, suaminya turut menghidap penyakit buah pinggang kronik dan kencing manis, dengan pasangan itu baru mendapat flat tetap di Blok 52 Circuit Road sejak April lalu.

Cik Azizah dan Encik Nazmul merupakan antara penerima beg cenderahati ihsan Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) sempena Kempen Asyura anjuran badan itu pada 6 Julai.

Menurut nenek lapan cucu itu, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan pendidikan dan harian cucunya, yang sebahagian besar masih menuntut di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Cik Azizah menjelaskan sebelum suaminya menghidap penyakit sedemikian, beliaulah yang akan menghantar cucu-cucunya ke sekolah dan mengambil mereka pulang.

Beliau pernah bertugas sebagai pekerja pembungkusan barang sebelum bersara untuk menjaga suaminya sepenuh masa.

“Saya dahulu kerja syif pagi dan syif malam. Jadi, adalah sedikit pendapatan.

“Tetapi sejak saya tidak kerja dan suami pun tak boleh kerja, kami bergantung sebahagian besarnya kepada pemberian orang dan pertubuhan,” ujarnya, sambil menambah beliau turut menerima bantuan berkala daripada MTFA, antara lain.

Beliau akur bahawa sememangnya apa yang dilaluinya itu perit, sehinggakan kesulitan hidup membuatkan suaminya tidak dapat bertemu doktor bagi rawatan lanjut selama lebih kurang setahun memandangkan sukar mendapatkan bantuan menghantarnya ke poliklinik.

Tambahan pula, Cik Azizah perlu mengangkat dan menyorong suaminya untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan, sesuatu yang agak berat untuknya.

Namun beliau tetap bersyukur dengan keprihatinan dan sumbangan badan-badan pemerintah dan bukan pemerintah terhadap nasibnya sekeluarga.

“Kalau bukan saya (yang jaga), siapa lagi yang akan menjaganya. Sedaya yang mampu, saya masakkan makanan, mandikan dan lakukan apa sahaja untuk suami,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg