Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjasama Meta, Polis bantu sekat 3.6j ‘halaman kosong’ di FB, IG daripada tipu mangsa
Kerjasama Meta, Polis bantu sekat 3.6j ‘halaman kosong’ di FB, IG daripada tipu mangsa
Kerjasama Meta, Polis bantu sekat 3.6j ‘halaman kosong’ di FB, IG daripada tipu mangsa
Halaman-halaman berkenaan kelihatan seperti tidak aktif, kosong dan tidak berbahaya, tanpa sebarang iklan mahupun hantaran yang berbahaya.
Namun dalam sekelip mata, penipu boleh mengaktifkan jutaan halaman seperti itu bagi menjalankan kempen penipuan besar-besaran di Facebook dan Instagram bagi memperdaya ribuan mangsa yang tidak menaruh sebarang rasa curiga.
Berdasarkan maklumat daripada Pasukan Polis Singapura (SPF), Meta, syarikat induk kepada kedua-dua platform media sosial berkenaan, telah mengambil tindakan terhadap 3.64 juta ‘halaman kosong’ atau shell pages sedemikian pada Julai.
Dalam satu taklimat media pada 22 September, Meta memperincikan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap rangkaian penipuan dari Januari hingga Jun 2026.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu, syarikat itu telah menjalinkan kerjasama berasaskan maklumat bersama SPF, yang membantu penyiasat Meta mengenal pasti dan menumpaskan keseluruhan ekosistem penipu.
Pada separuh pertama 2026, kerjasama ini telah membawa kepada tindakan terhadap 113,000 akaun dan halaman yang dikaitkan dengan penipuan di Facebook dan Instagram, 33,600 entiti penipuan e-dagang serta 3.6 juta halaman kosong sebelum halaman itu sempat digunakan.
Dikenal pasti oleh SPF sebagai satu kaedah ancaman baharu, halaman kosong ini dicipta oleh sindiket dan dibiarkan tanpa kandungan supaya tidak dapat dibezakan dengan halaman sah.
Taktik ini membolehkan halaman berkenaan kekal di platform tersebut tanpa mencetuskan amaran keselamatan untuk akaun baharu.
Sejurus diaktifkan, halaman-halaman tersebut akan ‘berinteraksi’ antara satu sama lain bagi mewujudkan gambaran palsu bahawa halaman tersebut sah, sebelum melancarkan kempen penipuan terancang di serata platform media sosial.
Isu penipuan terus menjadi masalah di Singapura, dengan 16,821 kes dilaporkan pada separuh pertama 2026 yang menyaksikan mangsa mengalami kerugian melebihi $410 juta.
Selain membanteras penipuan sebelum ia berlaku, Meta turut bekerjasama dengan pihak polis untuk menumpaskan operasi penipuan berkenaan.
Pengarah Perhubungan Penguatkuasaan Undang-Undang bagi rantau Asia-Pasifik di Meta, Encik Daryl Poon, berkata bagi setiap entiti atau halaman mencurigakan yang dikenal pasti oleh pihak polis, Meta mengambil tindakan terhadap empat lagi halaman lain.
Ini membawa kepada tindakan terhadap lebih 113,000 entiti dan halaman yang berkaitan dengan kes penipuan di Facebook dan Instagram pada separuh pertama 2026, dengan sebahagian besarnya didapati terlibat dalam penipuan pelaburan.
Pada Jun, sebagai langkah berjaga-jaga menjelang cuti sekolah dan peningkatan musim penipuan, Meta dan SPF menjalankan operasi penyekatan khas tertumpu kepada penipuan e-dagang, dengan mengambil tindakan terhadap lebih 33,600 entiti.
Penipuan tersebut melibatkan promosi dengan harga yang mengelirukan, taktik promosi palsu menggunakan jenama terkenal, serta dakwaan produk yang keterlaluan.
Meta turut menurunkan 65 juta iklan penipuan di Facebook dan Instagram setakat 2026, dengan 94 peratus daripadanya dikesan sebelum sempat dilaporkan oleh pengguna.
Encik Poon berkata kerjasama dengan SPF telah membantu Meta mengenal pasti ancaman dan mengambil tindakan dengan pantas, sekali gus menghapuskan rangkaian penipuan sebelum ia menjejaskan lebih ramai mangsa.
“Inilah bentuk kerjasama yang berkesan. Bukan sekadar bertindak selepas penipuan berlaku, tetapi secara proaktif menyasar prasarana di sebalik operasi berkenaan,” kata Encik Poon.
Markas Siber baharu SPF, yang ditubuhkan pada Julai lalu, menyasar penipu sebelum mereka sempat memperdaya mangsa di negara ini.