Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama NAC, LTA hidupkan suasana seni dalam stesen, tren MRT

Jan 8, 2024 | 6:52 PM
HIDUPKAN SUASANA MRT: Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling (tiga dari kiri), bergambar dengan kumpulan artis di sebalik karya ‘My Mother Says’ yang dipamerkan di kereta api laluan MRT Timur Laut (NEL), (dari kiri) Encik Marcel Gaspar, Encik Victor Emmanuel, Cik Stellah Lim (dua dari kanan), dan Cik Zhang Runhan (kanan).
HIDUPKAN SUASANA MRT: Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling (tiga dari kiri), bergambar dengan kumpulan artis di sebalik karya ‘My Mother Says’ yang dipamerkan di kereta api laluan MRT Timur Laut (NEL), (dari kiri) Encik Marcel Gaspar, Encik Victor Emmanuel, Cik Stellah Lim (dua dari kanan), dan Cik Zhang Runhan (kanan). - Foto LTA

Majlis Seni Kebangsaan (NAC) mengumumkan kerjasama tiga tahun dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk mendekatkan orang ramai kepada seni dalam ruang pengangkutan awam melalui karya yang ditauliahkan oleh seniman dan pertubuhan seni Singapura.

Antara lain, perkongsian antara NAC dan LTA yang dilancarkan sempena Minggu Seni Singapura (SAW) itu akan mempamerkan mural di stesen kereta api, kereta api bertema, dan pengalaman jejak seni bagi penumpang, bermula di laluan MRT Timur Laut (NEL).

Pelancaran perkongsian itu dihadiri oleh Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, pada 8 Januari.

“Perkongsian ini adalah sebahagian daripada visi kami yang lebih luas bagi mengubah Singapura menjadikan bandar yang tersendiri dengan banyak ruang yang boleh diakses oleh orang ramai untuk menikmati seni di mana sahaja mereka berada.

“Sejajar dengan Pelan Seni SG Kita (2023-2027), inisiatif ini akan membawa seni kepada penumpang dalam perjalanan harian mereka,” kata Cik Low.

Mulai 8 Januari hingga 28 Januari, penumpang laluan NEL kini boleh mengalami jejak seni yang menampilkan mural dan karya seni terpilih daripada SAW, di tujuh stesen MRT dan kereta api bertema yang direka khas.

Kereta api laluan NEL akan mempamerkan karya berjudul My Mother Says, ciptaan bersama oleh kira-kira 20 penduduk Tampines Changkat yang telah menyertai bengkel tiga minggu mengenai tipografi.

Projek itu adalah salah satu daripada beberapa projek yang merupakan sebahagian daripada inisiatif SAW x PAssionArts, yang bertujuan melibatkan masyarakat dalam seni.

Pada separuh kedua 2024, orang ramai boleh menantikan pameran seni di bawah jejambat terpilih, sebagai sebahagian daripada inisiatif Amanah Seni Awam.

Ini akan melibatkan artis bertauliah yang bekerjasama dengan masyarakat untuk mencipta karya seni berskala besar yang mencerminkan ciri-ciri kawasan tempatan.

Usaha itu mengikuti Memorandum Persefahaman NAC dengan SMRT, yang ditandatangani pada Ogos 2023, yang juga memfokuskan untuk memeriahkan pengalaman pengangkutan awam dengan pelbagai bentuk seni termasuk muzik.

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Encik Ng Lang, menambah:

“Perkongsian ini akan memperkayakan program Seni dalam Transit (AIT) kami yang sedia ada, yang bertujuan mendekatkan seni kepada penumpang dan mengubah nod pengangkutan kami menjadi tempat yang meriah.

“Dengan berjuta-juta pengguna pengangkutan awam setiap hari, stesen MRT dan pusat pertukaran bas kami adalah ‘kanvas’ yang sesuai untuk artis mempamerkan karya mereka, mencipta ruang yang menyegarkan dan meningkatkan pengalaman perjalanan.

“Kami akan bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi melalui AIT untuk mengukuhkan penghargaan orang ramai dengan seni.”

“Perkongsian ini adalah sebahagian daripada visi kami yang lebih luas bagi mengubah Singapura menjadikan bandar yang tersendiri dengan banyak ruang yang boleh diakses oleh orang ramai untuk menikmati seni di mana sahaja mereka berada.”
 Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg