Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama pertama S’pura, Bahrain dalam penyelesaian pertikaian rentas sempadan

Nov 7, 2025 | 2:11 PM
sundaresh menon, salman Hamad, bahrain, perundangan
Ketua Hakim Negara, Encik Sundaresh Menon (tiga dari kiri), bersama Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa (empat dari kiri), semasa pelancaran Mahkamah Komersial Antarabangsa Bahrain (BICC) di Manama, Bahrain, pada 5 November. - Foto AGENSI BERITA BAHRAIN

Pengaruh Singapura dalam bidang keadilan komersial sejagat mencapai tahap baru apabila Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura (SICC) bekerjasama dengan Kerajaan Bahrain dalam menubuhkan Mahkamah Komersial Antarabangsa Bahrain (BICC).

Ia merupakan kerjasama pertama seumpamanya yang menghubungkan Asia dengan Timur Tengah dalam penyelesaian pertikaian rentas sempadan.

Diadakan di Manama, Bahrain pada 5 November, majlis pelancaran itu diikuti dengan persidangan mengenai mahkamah komersial antarabangsa serta pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MOU) pada 6 November, satu antara Persatuan Guaman Singapura dengan Persatuan Guaman Bahrain, dan satu lagi antara Persatuan Guaman Singapura dengan Dewan Penyelesaian Pertikaian Bahrain.

MOU tersebut bertujuan memperkukuh pertukaran profesional, latihan bersama serta kerjasama dalam bidang komersial dan timbang tara rentas sempadan.

Acara dua hari itu dihadiri Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa, dan Ketua Hakim Negara, Encik Sundaresh Menon, serta para kenamaan dari rantau tersebut.

Antara tetamu yang hadir ialah Pengarah Urusan A.W. Law LLC, Encik Abdul Wahab Saul Hamid, yang merupakan sebahagian daripada delegasi Persatuan Guaman Singapura.

Bagi beliau, acara itu bukan sekadar upacara rasmi, malah mencerminkan bagaimana model perundangan Singapura yang dipercayai, neutral dan berorientasikan perniagaan terus membentuk masa depan keadilan antarabangsa.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu apabila dihubungi Berita Harian (BH), Encik Abdul Wahab, berkata:

“Ini menggambarkan hubungan erat antara kedua-dua negara dan menunjukkan potensi bagi Singapura dan Bahrain untuk memainkan peranan penting dalam membentuk litigasi komersial global, sekurang-kurangnya sebagai permulaan di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (Mena).

“Kerjasama seperti ini membuka pelbagai peluang, termasuk usaha sama untuk menembusi pasaran Timur Tengah serta potensi bagi kededua pihak untuk terlibat dalam kes rentas sempadan.”

Menurut kenyataan SICC pada 7 November, kerjasama antara SICC dengan BICC mengesahkan keberkesanan model Singapura dalam menyediakan forum yang dipercayai dan neutral bagi penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa, serta menggalakkan penyeragaman undang-undang bagi meningkatkan kepastian dalam perdagangan rentas sempadan.

Ia turut meningkatkan kepercayaan dan kecekapan dalam penyelesaian pertikaian rentas sempadan, di samping mewujudkan peluang komersial yang nyata untuk firma guaman dan perniagaan Singapura yang beroperasi di rantau berkenaan, tambah SICC.

Berbesar hati sebahagian besar struktur BICC diilhamkan daripada model SICC, Encik Abdul Wahab berkata:

“Ini mencerminkan penghargaan tinggi terhadap sistem perundangan kita dan menonjolkan peranan penting yang boleh dimainkan oleh peguam Singapura dalam menyumbang kepada kerja-kerja perundangan dan komersial di Timur Tengah serta seluruh rantau Mena.”

Mengenai MOU itu, beliau mengakui ia memberi manfaat kepada firma guaman bersaiz kecil dan sederhana seperti firmanya, sekali gus membantu mereka menembusi pasaran baru di Timur Tengah.

“Walaupun pasaran tempatan kami kecil, reputasi dan pengaruh Singapura dalam bidang perundangan bersifat global.

“Ia mewujudkan peluang baru bagi firma guaman Singapura, yang bukan sahaja mengendalikan pertikaian di mahkamah tempatan, malah berkembang aktif dalam bidang kerja komersial antarabangsa,” jelasnya.

Melalui kerjasama dengan masyarakat guaman di rantau Mena dan Teluk, perkhidmatan sehenti bagi urusan undang-undang yang dihadapi perniagaan dari Singapura dan Asia Tenggara kini dapat ditawarkan, menjadikan firma guamannya sebagai penghubung utama bagi kerjasama undang-undang dan komersial rentas sempadan.

“Kami berada pada kedudukan yang unik untuk menghubungkan kedua-dua rantau ini serta menjadi jambatan bagi kerjasama undang-undang dan komersial rentas sempadan,” tambah Encik Abdul Wahab.

Bagi beliau, kerjasama tersebut turut memperkukuh pengalaman serantau A.W. Law LLC di Singapura, Vietnam dan China, sekali gus meningkatkan keupayaan firmanya untuk berkhidmat kepada pelanggan antarabangsa dalam pelbagai bidang kuasa.

“Ini merupakan masa yang amat menarik bagi firma guaman Singapura untuk terus membina rentak ini dan membuka lebih banyak peluang di peringkat global,” ujar Encik Abdul Wahab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg