Kerjasama dua hala antara Singapura dengan China amat berharga, memandangkan persekitaran sejagat yang kian tidak menentu, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, sedang beliau bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping, di Beijing pada 26 November.
“Kerjasama dua hala kami amat berharga memandangkan persekitaran antarabangsa yang lebih tidak menentu dan bermasalah,” kata Encik Lee yang melawat China buat kali pertama dalam peranan barunya sebagai Menteri Kanan.
Beliau menambah ketegangan antara kuasa utama dunia telah bertambah dan negara-negara menekankan keselamatan negara serta daya tahan rantaian bekalan berbanding penyepaduan ekonomi dan kerjasama antarabangsa berbilang hala.
“Dan ia menjadikannya lebih penting dalam persekitaran sedemikian untuk negara-negara yang berfikiran sama, (sama ada negara) besar dan yang kecil, bekerjasama bagi membangunkan kerjasama dengan sebaik mungkin bagi manfaat rakyat kita,” ujarnya yang mengadakan lawatan rasmi enam hari ke China.
Menukil laporan The Straits Times, dalam 20 tahun ketika beliau menjadi Perdana Menteri, Encik Lee telah melawat China sebanyak 14 kali, menjadikannya salah satu pemimpin asing yang paling kerap melawat China.
Dalam interaksi mereka, Encik Xi berkata beliau gembira dapat berjumpa Encik Lee semula sambil menambah bahawa mereka “sering bertemu pada masa lalu”.
Beliau juga mengalu-alukan kedatangan Encik Lee dalam peranan barunya sebagai Menteri Kanan.
Encik Xi berkata: “Di peringkat antarabangsa dan di Asia, anda (Encik Lee) dianggap sebagai ahli politik veteran.”
Sama ada pencapaian yang telah dicapai oleh Singapura atau dalam mempromosikan kerjasama antarabangsa atau serantau, Encik Lee telah membuat sumbangan penting, tambah Encik Xi.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Encik Lee atas kejayaan peralihan kepimpinan Singapura pada Mei.
“Anda merupakan sahabat lama China, kawan baik, dan anda mempunyai minat serta sokongan jangka panjang bagi kerjasama China-Singapura,” tambahnya.
Menyentuh tentang lawatannya ke Taman Perindustrian Suzhou (SIP) pada 25 November, Encik Lee berkata beliau bangga melihat taman itu berkembang dan makmur dan “ia telah berjaya melangkaui jangkaan”.
Encik Lee berkata beliau juga gembira kerana “SIP telah memainkan peranan berharga dalam pembangunan ekonomi serta transformasi China dan terus berlangsung sehingga hari ini”.
Pertemuan itu juga adalah kali pertama Encik Xi mengadakan jamuan untuk Encik Lee semasa keberadaannya di China.
Kali terakhir Encik Lee dan Encik Xi bertemu adalah ketika Encik Lee membuat lawatan pada Mac 2023.
Beliau telah singgah di Guangzhou di wilayah Guangdong, dan sampaikan ucapan di Forum Bo’ao untuk Persidangan Tahunan Asia di wilayah Hainan.
Beliau kemudian bertemu Encik Xi dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, di Beijing, dan kedua-dua negara meningkatkan hubungan mereka kepada apa yang disifatkan sebagai “Perkongsian Berorientasikan Masa Depan Berkualiti Tinggi Pelbagai Peringkat”.
Lawatan itu juga dilihat sebagai peluang bagi Encik Lee untuk memaklumkan para pemimpin China bahawa Encik Lawrence Wong – yang pada waktu itu masih merupakan Timbalan Perdana Menteri – bakal mengambil alih jawatannya tidak lama lagi.
Encik Wong tidak lama kemudian membuat lawatan rasmi pada Mei 2023.
Beliau bertemu dengan Encik Li; Naib Perdana Menteri, Encik Ding Xuexiang; Menteri Kewangan, Encik Liu Kun, dan ketua Parti Komunis Jabatan Organisasi Pusat China, Encik Li Ganjie.
Walaupun Encik Wong masih belum membuat lawatan rasmi ke China sejak menggalas jawatan Perdana Menteri pada Mei 2024, beliau baru-baru ini bertemu dengan Encik Xi di luar mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Lima, Peru.
Kedua-dua pemimpin telah membincangkan kerjasama dalam ekonomi hijau dan digital, serta perkembangan serantau dan antarabangsa.
Awal sebelum ini pada 26 November, Encik Lee telah bertemu pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, Encik Wang Huning – salah seorang pemimpin tertinggi dalam Jawatankuasa Tetap Politburo, badan pembuat keputusan tertinggi negara itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg