Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Taman Perindustrian Suzhou boleh jadi model urus ekonomi, bandar

Menteri Kanan temui Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, bagi rai ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou
Nov 25, 2024 | 7:26 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri), mengadakan pertemuan dengan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, pada 25 November di Suzhou bagi meraikan ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou (SIP) sempena rangka lawatan enam harinya ke China.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri), mengadakan pertemuan dengan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, pada 25 November di Suzhou bagi meraikan ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou (SIP) sempena rangka lawatan enam harinya ke China. - Foto ZAOBAO

Sebagai projek silang pemerintah yang pertama antara Singapura dengan China, Taman Perindustrian Suzhou (SIP) telah melangkaui tujuan utamanya, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Selain menjadi sebuah perbandaran yang berjaya dan makmur secara sendiri, beliau berkata SIP menjadi model pengurusan ekonomi dan pembangunan bandar berguna yang boleh diadaptasikan di seluruh China – peranan yang beliau harap SIP dapat teruskan.

Encik Lee berkata demikian semasa pertemuannya dengan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, pada 25 November di Suzhou, pada hari pertama rangka lawatan enam harinya ke China.

Kededua pemimpin berada di bandar Suzhou untuk memperingati kejayaan dan meraikan ulang tahun ke-30 SIP, lapor The Straits Times.

Dilancarkan pada 1994 dengan sokongan pemimpin tertinggi kededua negara, SIP adalah platform untuk China menyesuaikan pengalaman pembangunan Singapura ketika ia meneruskan pembaharuan dan perindustrian sendiri.

Projek itu juga merupakan sebahagian daripada strategi Singapura membangunkan sayap luaran ekonominya.

SIP kini menjadi salah satu zon pembangunan ekonomi paling berdaya saing di China dan menduduki tempat pertama dalam satu indeks negara sejak 2016.

Perbandaran bersepadu itu merangkumi tempat tinggal, beriadah, antara lain, dan menjangkau 278 kilometer persegi serta menempatkan industri seperti bioperubatan.

Encik He, yang menyelia isu ekonomi dan kewangan di peringkat nasional, memuji peranan SIP sebagai “penanda aras” untuk China kerana ia membuka laluan kepada dunia luar.

Melalui projek itu, China memperoleh pengetahuan mengenai kerjasama dengan pemerintah asing bagi merangsang kegiatan perniagaan, dan mempromosikan pembangunan taman perindustrian, tambahnya.

Beliau percaya SIP akan terus memacu pembangunan wilayah lain di China dan mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee atas peranannya dalam pembangunan SIP.

Ini termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa pembangunan SIP pada tahun-tahun awalnya.

Encik Lee berkata beliau gembira dapat kembali ke SIP. Beliau merupakan pengerusi bersama jawatankuasa pemandu bersama yang membentuk pembangunan projek dalam dekad pertamanya.

“Apa yang bermula sebagai projek yang bercita-cita tinggi tetapi berpotensi kini telah menjadi contoh mapan yang sangat berjaya,” kata beliau, sambil menambah bahawa kedua-dua negara telah mengusahakan rancangan 10 tahun untuk merangka pembangunan selanjutnya bagi projek itu.

“Kami mengharapkan SIP memainkan peranan yang berguna dalam keadaan semasa dan pembangunan ekonomi yang berdaya maju di China,” tambah Encik Lee.

Selepas pertemuan mereka, Encik He mengadakan makan tengah hari untuk Encik Lee dan mereka dijangka mengambil bahagian dalam sesi peringatan pada sebelah petang.

Encik Lee juga akan bertemu dengan pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, Encik Wang Huning – salah seorang pemimpin tertinggi dalam Jawatankuasa Tetap Politburo, badan pembuat keputusan tertinggi negara itu.

Persidangan Perundingan Politik Rakyat China ialah badan penasihat politik tertinggi China.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg