Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama S’pura, Mesir tingkat bantuan kemanusiaan bagi mangsa krisis di Gaza

May 2, 2025 | 2:59 PM
Menteri Perpaduan Sosial Mesir, Dr Maya Mohamed Abdel-Moneim Morsy, berada di Singapura bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Peluang 2025, yang dianjurkan buat julung kali oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Institut Kajian Dasar (IPS).
Menteri Perpaduan Sosial Mesir, Dr Maya Mohamed Abdel-Moneim Morsy, berada di Singapura bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Peluang 2025, yang dianjurkan buat julung kali oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Institut Kajian Dasar (IPS). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Lebih banyak usaha ke arah membantu warga Palestin yang terjejas oleh krisis di Gaza boleh dijangkakan dalam masa terdekat, hasil kerjasama kementerian dan badan kemanusiaan di Singapura dan Mesir.

Menteri Perpaduan Sosial Mesir, Dr Maya Mohamed Abdel-Moneim Morsy, memberitahu Berita Harian pada 29 April bahawa kerjasama antara Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dengan Kementerian Kesihatan dan Penduduk (MOHP) di Mesir, serta Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), diharap dapat membawa kepada lebih banyak sokongan di lapangan berhubung bantuan kemanusiaan.

Dr Maya berada di Singapura bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Peluang 2025, yang dianjurkan buat julung kali oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Institut Kajian Dasar (IPS).

“Saya mengadakan perbincangan panjang dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga mengenai kerjasama pertama antara RLAF dengan ERC untuk mengerahkan sokongan bagi keluarga Gaza – kanak-kanak dan wanita menjadi keutamaan di peringkat ini – dan juga bagi kerjasama antara kedua-dua kementerian, juga untuk membantu keluarga Gaza,” kata Dr Maya, yang merupakan Naib Pengerusi Lembaga Pengarah ERC.

“Ini adalah krisis kemanusiaan dan ERC menjadi penggerak peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan sepanjang 17 bulan ini,” tambahnya.

Mesir sedang memudahkan lawatan pasukan pendahuluan daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan MOH.

Pasukan itu telah mendampingi MOHP dan hospital tempatan di Mesir untuk lebih memahami keperluan, dan membincangkan bagaimana Singapura boleh menyokong mereka dalam menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan kepada pesakit warga Palestin.

RLAF pula bekerjasama dengan ERC untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu masyarakat yang terjejas di Gaza.

Dr Maya berkata pasukan pendahuluan itu sedang melakukan penilaian keperluan seperti apakah yang diperlukan di lapangan dan apakah bentuk kecederaan yang dialami penduduk Gaza yang sedang menerima rawatan di Mesir.

“Kemudian mereka akan pulang untuk mengadakan perbincangan dan kami akan lihat bagaimana kami boleh bekerjasama lebih lanjut dari segi bantuan kemanusiaan dan untuk mangsa yang cedera,” kata Dr Maya.

Memberi gambaran keadaan hospital-hospital di Mesir yang merawat mangsa dari Gaza, Dr Maya berkata keadaannya berubah-ubah “setiap minit”.

Apabila sempadan dibuka, Mesir menerima penduduk Gaza yang cedera serta keluarga mereka. Mangsa menerima pemeriksaan perubatan atau menjalani prosedur dan pembedahan di hospital.

Mereka kemudian dipindahkan ke tempat perlindungan untuk meneruskan pemulihan mereka.

“Isunya adalah, terdapat lebih 15,000 kes yang telah melintasi sempadan Mesir dalam tempoh 17 bulan lalu. Hospital penuh dengan pesakit dan kebanyakannya kanak-kanak,” kata Dr Maya.

Beliau menambah, kanak-kanak Gaza di hospital di Mesir tidak mahu meninggalkan tanah air mereka dan matlamat utama mereka adalah untuk kembali ke Gaza.

“Mesir akan berdiri teguh seperti yang telah kami lakukan sepanjang sejarah, di sisi perjuangan Palestin untuk mencapai huraian dua negara. Dan ini berterusan,” kata Dr Maya.

Menyentuh tentang sumbangan Singapura kepada usaha kemanusiaan di Gaza sedangkan ia negara kecil yang terletak jauh dari zon konflik itu, Dr Maya berkata krisis Gaza ialah krisis kemanusiaan dan menjadi tanggungjawab semua di peringkat antarabangsa untuk bertindak balas kepada krisis itu, tanpa mengira jarak.

“Apa yang kami harapkan pada peringkat ini adalah untuk menghubungkan masyarakat sivil bersama.

“Kami menghubungkan dua negara, iaitu Mesir dan Singapura, untuk bekerjasama, bergerak bersama di lapangan bagi menyampaikan lebih banyak bantuan kemanusiaan.

“Rakyat Gaza akan melihat kehadiran Singapura di lapangan (melalui Mesir), dan mereka akan diterima dengan tangan terbuka,” kata Dr Maya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad telah menemui Dr Maya dan pasukannya bagi mengucapkan terima kasih di atas kerjasama Mesir dengan Singapura dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.

Dalam satu kiriman Facebook pada 29 April, Encik Masagos berkata Singapura dan Mesir telah bekerjasama dengan baik untuk memberikan sokongan kemanusiaan kepada Gaza.

“Ia mencerminkan komitmen bersama kami untuk membantu rakyat Palestin yang terjejas oleh konflik di Gaza. Dalam semangat yang sama, masyarakat setempat telah menyahut seruan sokongan itu,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

“Saya bersyukur kerjasama dengan Mesir telah membolehkan kita meningkatkan kesan usaha ini,” tambahnya.

Hingga Februari 2025, Singapura telah mengirim tujuh bantuan kemanusiaan, termasuk operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara bagi penduduk Palestin di Gaza.

Sebanyak $15 juta pula telah dikumpul di peringkat masyarakat melalui RLAF, termasuk $2 juta yang dikumpul sepanjang Ramadan 2025.

Bersama pemerintah, Singapura telah menyumbang lebih $20 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin di Gaza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg