Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SAF, MOH kerah kontinjen hulur bantuan perubatan ke Mesir

Sedia rawatan kepada rakyat Palestin, anggota awam dari Gaza yang kini dirawat di Mesir
Apr 16, 2025 | 6:58 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (barisan pertama, tiga dari kiri), bertemu dengan pasukan awal terdiri daripada lapan anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan seorang kakitangan Kementerian Kesihatan (MOH) di bangunan Kementerian Pertahanan (Mindef). Turut bersama, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (barisan pertama, empat dari kiri), dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (barisan pertama, tiga dari kanan), pada 16 April.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (barisan pertama, tiga dari kiri), bertemu dengan pasukan awal terdiri daripada lapan anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan seorang kakitangan Kementerian Kesihatan (MOH) di bangunan Kementerian Pertahanan (Mindef). Turut bersama, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (barisan pertama, empat dari kiri), dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (barisan pertama, tiga dari kanan), pada 16 April. - Foto BH oleh EVA ADRIANA

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan mengerahkan satu kontinjen untuk menyediakan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin dan orang awam lain dari Gaza yang sedang dirawat di Mesir.

Satu pasukan awal, yang terdiri daripada lapan anggota SAF, akan ke Mesir pada 16 April untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Mesir bagi membuka jalan untuk penempatan pasukan utama, bekalan dan peralatan, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada 16 April.

Seorang lagi kakitangan daripada MOH akan menyertai pasukan awal tersebut pada 22 April.

Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, telah bertemu dengan pasukan awal itu pada 16 April di bangunan Mindef.

“Kami akan menghantar kontinjen perubatan yang terdiri daripada kakitangan SAF dan MOH ke Mesir, terutama ke hospital di Mesir.

“Ia merupakan tempat di mana penduduk Palestin dari Gaza telah dipindahkan selama beberapa bulan lalu sejak gencatan senjata pada Januari, dan mereka sedang dirawat di hospital tesebut oleh kakitangan perubatan Mesir,” kata Dr Ng kepada wartawan.

Selain itu, Encik Masagos berkata sumbangan $2 juta telah dikumpul oleh masyarakat pada Ramadan 2025.

“Secara keseluruhan, masyarakat kita, melalui Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), telah mengumpulkan sebanyak $15 juta.

“Bersama dengan pemerintah, lebih $20 juta telah disumbangkan untuk menyokong penduduk Gaza.

“Kami akan terus mencari peluang untuk menyokong penduduk Gaza dari segi pemberian bantuan kemanusiaan,” kata Encik Masagos.

Dalam pada itu, Encik Zaqy berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Mesir bagi Hal Ehwal Pembangunan Manusia merangkap Menteri Kesihatan dan Penduduk, Dr Khaled Abdelghaffar, serta Penolong Menteri Pertahanan Mesir bagi Hal Ehwal Luar Negara, Jeneral Walaa Adel Bibers, semasa lawatannya ke Mesir, pada 15 dan 16 Februari.

Semasa lawatan tersebut, Encik Zaqy berkata perbincangan turut diadakan untuk melihat bagaimana Singapura dapat menyumbang dan membantu dari segi penempatan pasukan perubatan.

“Mereka mengalu-alukan bantuan daripada pihak Singapura, SAF dan MOH, agar kita dapat membawa pakar-pakar dari Singapura untuk membantu mangsa dari Palestin dan Gaza yang telah terjejas oleh konflik,” kata Encik Zaqy.

Beliau menambah, usaha tersebut menunjukkan sikap simpati dan prihatin rakyat Singapura terhadap keadaan di Timur Tengah dan Gaza.

“Saya berterima kasih kepada pasukan SAF dan MOH kerana bersetuju dengan penempatan itu, dan juga kepada semua rakan kongsi dan rakan sejawatan kerana memudahkan tugas ini,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg