Pencapaian masyarakat Melayu/Islam tidak harus diperlekeh, takut-takut ini akan menimbulkan sikap ‘defeatist’ atau sikap yang menerima kegagalan sebagai sesuatu yang biasa, terutama dalam golongan muda.
Bahkan, terdapat ramai model contoh dalam kalangan masyarakat yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, dan kini menyumbang semula dalam pelbagai inisiatif kemasyarakatan setempat.
Demikian dikongsi dua calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah dalam podcast NoTapis BHerbual, sebuah podcast berita dan ehwal semasa Berita Harian (BH).
Encik Zhulkarnain, yang menyandang jawatan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang sebelum Parlimen dibubarkan dan bertanding di GRC yang sama dalam Pilihan Raya 2025, berkata pemerhatian beliau ialah masyarakat Melayu/Islam setempat bukan hanya berbangga dengan pencapaian, malah bersyukur dan menjadikannya sebagai sesuatu yang membangkit semangat untuk melakukan lebih baik lagi.
“Budaya kita sebagai sebuah masyarakat ialah kita tidak terlalu menunjukkan kebanggaan...tetapi bersyukur dengan pencapaian....
“Bagi saya...kalau ada pihak-pihak yang memperlekehkan (pencapaian kita), mungkin nanti ada masyarakat kita, terutama belia kita yang ‘self-defeatist’. Kita tidak mahu perasaan dan sikap ini tersangkut pada mereka,” ujar beliau.
Malah, Encik Zhulkarnain menambah, terdapat ramai anggota masyarakat Melayu yang telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing yang menyumbang semula menerusi pelbagai inisiatif masyarakat.
Antara mereka, beliau menukil mantan pengerusi M Kuasa Tiga @Bandar (M³@Bandar) di Chua Chu Kang, Kolonel Fairoz Hassan.
“Beliau pegawai SAF (Angkatan Bersenjata Singapura) yang amat bertauliah...dan kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Infantri. Ini bermakna seluruh divisyen infantri di bawah naungan beliau,” ujar beliau.
Calon GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal, berkata kesanggupan individu seperti Kolonel Fairoz menyumbang semula kepada masyarakat merupakan satu petanda baik.
“Ini dapat memberi masyarakat motivasi...mereka yang berjaya menyumbang kembali kepada masyarakat....kita bersama-sama bangkitkan masyarakat kita,” ujar beliau, yang bertanding di GRC sama pada GE2025.
Menyentuh usaha menarik sokongan golongan muda pula, Dr Wan Rizal berkata sebagai AP, beliau telah secara konsisten mengadakan dialog dengan golongan muda sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Menurutnya, dialog yang kerap itu perlu dilakukan bukan hanya untuk mendengar keprihatinan dan idea belia, tetapi juga membina persefahaman dan kepercayaan supaya beliau, sebagai wakil penduduk, dapat menerangkan cabaran yang dihadapi parti pemerintah dengan cara lebih terbuka.
Encik Zhulkarnain pula menekankan, belia tidak mahu perubahan semata-mata untuk perubahan.
Belia, menurutnya bukan mahu suara mereka didengar sahaja, malah mahu melihat ada tindakan dan usaha yang diambil sebagai menangani keprihatinan dan keinginan yang mereka timbulkan.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan sama ada terdapat cukup ruang untuk kepelbagaian pendapat dilahirkan golongan belia, Encik Zhulkarnain menekankan parti pemerintah menyedari kepentingan tersebut.
“Malah, kami juga sedar bahawa belia tidak mahukan sekadar sesuatu yang berbeza, tetapi mereka mahukan perbezaan. Maksudnya, mereka mahu menjadi penggerak kepada perubahan, dan mahu menyumbang kepada perubahan,” ujarnya.
Mengulas mengenai manifesto Parti Pekerja (WP) yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, Encik Zhulkarnain, yang merupakan anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Ehwal Luar dan Pertahanan berkata pendirian tersebut juga adalah pendirian pemerintah Singapura.
“Memang dasar pemerintah sudah jelas bahawa Palestin akan diiktiraf sebagai sebuah negara. Penduduk Palestin, Islam atau pun Kristian, mereka perlukan tanah air mereka. Dan ini memerlukan lebih banyak negara-negara di (Pertubuhan) Bangsa-Bangsa Bersatu untuk bersama mengiktirafkan ini,” katanya.
“
“Adakah Singapura akan menyokong usulan di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk mengetengahkan bukti jika ada jenayah-jenayah antarabangsa? Iya, itu memang pendirian Singapura...tapi kita perlukan gencatan senjata dahulu. Kita perlukan perdamaian dan selepas itu kita harus adakan satu wadah bagi bukti-bukti ini diketengahkan supaya mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa akan dibawa ke persidangan mahkamah untuk hari perhitungan mereka. Jadi saya amat terkesan...kita sebuah negara kecil tapi kita sudah buat bantuan kemanusiaan, kita sudah buat komitmen untuk Palestin diiktiraf dan kita akan menyokong usulan untuk perundangan antarabangsa.”Encik Zhulkarnain berkata bahawa isu Palestin ini telah menjadi keprihatinan pemimpin politik Melayu dari parti pemerintah sejak sekian lama.
Beliau sendiri, sebagai AP penggal pertama, telah menimbulkan isu tersebut seawal Ramadan 2021 apabila berlaku gangguan di Masjid Al-Aqsa dan meminta pemerintah menjelaskan pendirian Singapura.
Beliau, yang merupakan sebahagian daripada delegasi Singapura yang telah ke Timur Tengah untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza pada Mac 2024 berkata berdasarkan pengalamannya dalam lawatan tersebut, rakyat Palestin menghargai bantuan dan sokongan Singapura.
Sehingga Februari 2025, Singapura telah mengirimkan tujuh bantuan kemanusiaan, termasuk operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara bagi penduduk Palestin di Gaza.
Di samping itu, pemerintah Singapura juga membantu warga Palestin dalam membangunkan kapasitinya termasuk dalam bidang pentadbiran dan pembangunan semula melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap).
ETAP telah dilancarkan pada 2013, dan peruntukannya digandakan daripada $5 juta kepada $10 juta pada 2016.
“Adakah Singapura akan menyokong usulan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk mengetengahkan bukti jika ada jenayah-jenayah antarabangsa? Iya, itu memang pendirian Singapura...tapi kita perlukan gencatan senjata dahulu.
“Kita perlukan perdamaian dan selepas itu kita harus adakan satu wadah bagi bukti-bukti ini diketengahkan supaya mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa akan dibawa ke persidangan mahkamah untuk hari perhitungan mereka.
“Jadi saya amat terkesan...kita sebuah negara kecil tapi kita sudah buat bantuan kemanusiaan, kita sudah buat komitmen untuk Palestin diiktiraf dan kita akan menyokong usulan untuk perundangan antarabangsa,” ujar Encik Zhulkarnain.
Dr Wan Rizal menambah, selain bantuan dan sokongan di peringkat negara, di peringkat masyarakat juga banyak peluang disediakan untuk rakyat menyumbang kepada usaha membantu warga Gaza, ternasuk kempen ‘Aid for Gaza’.
Kempen yang bermula sejak 24 Februari yang diterajui Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan usaha rakan kongsi M³ dan masyarakat telah mengumpul lebih $2 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg