Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjasama tiga pihak sasar latih 10,000 pekerja dalam AI
Kerjasama tiga pihak sasar latih 10,000 pekerja dalam AI
Inisiatif antara NTUC, Amazon Web Services dengan Huawei bertujuan percepat penerapan teknologi dan AI dalam pelbagai industri
Kerjasama tiga pihak sasar latih 10,000 pekerja dalam AI
Kira-kira 10,000 pekerja, terutamanya dalam pembuatan dan perkhidmatan kewangan, akan dilatih secara menyeluruh dalam pelbagai kemahiran kecerdasan buatan (AI) sepanjang tiga tahun akan datang.
Ini tercapai melalui kerjasama yang diumumkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dengan Amazon Web Services (AWS) pada 21 April, selain pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Huawei International (Huawei) pada hari yang sama.
Kedua-dua langkah ini bertujuan mempercepatkan penggunaan teknologi dan AI dalam pelbagai industri, selain meluaskan ekosistem syarikat, pekerja dan rakan kongsi.
AWS dan Huawei menjadi Pemacu Utama (Lead Multiplier) yang pertama, menyokong syarikat dan pekerja melalui inisiatif Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC serta Geran CTC.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, hadir bagi mengumumkan kerjasama dengan AWS, sambil melawat pejabat syarikat itu untuk mendalami keupayaan AI, program latihan dan penyelesaian perusahaan yang ditawarkan.
Dalam ucapannya, Encik Ng menggariskan betapa pentingnya langkah-langkah ini.
Tujuannya adalah untuk memperkasa syarikat dan pekerja dengan kemahiran dan wadah yang diperlukan untuk mengharungi perubahan dunia pekerjaan yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI).
“Paling utama, kami memperhebat usaha bersepadu bagi memastikan syarikat dan pekerja dapat meraih manfaat sokongan dan ekonomi yang lebih baik,” ujar beliau.
Usaha ini kian mendesak tatkala pekerjaan dan industri terus diubah oleh kemajuan AI, tambah Encik Ng dalam kenyataan media NTUC pada 21 April.
“Menerusi kerjasama Pemacu Utama dengan syarikat peneraju teknologi seperti AWS dan Huawei, kami meluaskan transformasi perniagaan dan tenaga kerja.
“Ini termasuk membentuk semula jawatan, meningkatkan kemahiran dan memanfaatkan AI bagi memacu kemajuan pekerja seiring perubahan syarikat,” jelas Encik Ng.
NTUC akan bekerjasama dengan AWS dan Huawei untuk membekalkan penyelesaian digital dan AI kepada syarikat pelanggan, demi meningkatkan daya pengeluaran mereka secara besar-besaran.
Syarikat terpilih juga boleh menggunakan Geran CTC NTUC untuk menyokong usaha melatih semula pekerja bagi peranan baharu atau yang diubah suai.
Geran ini boleh membiayai sehingga 70 peratus kos projek peningkatan kemahiran atau latihan syarikat.
Kerjasama NTUC dan AWS, berkuat kuasa dari 2026 hingga 2029 di bawah inisiatif AI-Ready Enterprise, akan menyediakan latihan dan sokongan menyeluruh melalui dua teras utama.
Teras pertama memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran AI kepada pekerja pelbagai sektor.
Ia merangkumi tiga tahap – ‘AI Fluent’ (membina asas dan keyakinan AI bagi yang tiada pengalaman); ‘AI Proficient’ (penggunaan AI yang lebih khusus dalam kerja); dan ‘AI Specialised’ (melatih pekerja dalam teknologi memanfaatkan AI secara mendalam).
Latihan ini terbuka kepada pekerja berusia 18 tahun ke atas, merangkumi sesi bersemuka di NTUC LearningHub dan pembelajaran dalam talian.
Sebahagian kos boleh ditaja melalui Program Bantuan Latihan Kesatuan (Utap).
Teras kedua pula menumpukan kepada perusahaan.
AWS akan menilai kesiapsiagaan AI syarikat sebelum melaksanakan penyelesaian AI yang bersesuaian bagi menyokong transformasi perniagaan, disokong oleh geran CTC NTUC.
Sementara itu, MOU dengan Huawei pula akan menyokong syarikat di bawah program CTC.
Kerjasama itu akan menyalurkan sokongan kepada pekerja dalam industri yang semakin memerlukan tenaga kerja mahir dalam AI dan teknologi, termasuk sektor perkhidmatan kewangan, Internet, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Selain membuka ruang kepada penyelesaian AI, Huawei juga akan menawarkan lebih banyak peluang latihan untuk lulusan baru dalam bidang seperti penjualan dan penyelidikan serta pembangunan.
NTUC juga akan turut mempertingkatkan Geran CTC untuk menyokong syarikat ‘Queen Bee’ (pemimpin) di peringkat sektor, bagi mendorong lebih ramai pekerja dan syarikat meningkatkan diri melalui inisiatif CTC.
Sokongan tambahan itu merangkumi akses kepada lebih banyak dana untuk menjayakan projek pembaharuan yang lebih luas dan berkesan.
