Mulai 2027, doktor junior yang mengikuti pakar perubatan kanan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dalam kunjungan mereka meninjau pesakit, akan turut disertai siswa tahun akhir yang mengikuti pengajian Perubatan Cina Tradisional (TCM).
Siswa ini merupakan pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Perubatan Cina selama empat tahun di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Hospital tersebut telah menjalin kerjasama dengan pihak universiti bagi menggabungkan rawatan Barat dengan terapi Timur dalam meneroka peranan TCM sebagai modaliti tambahan, lapor The Straits Times (ST).
Melalui kerjasama yang dikenali sebagai Pencegahan dan Pemulihan melalui Perubatan Berpadu, kededua institusi ini akan menyelidik peranan TCM dalam pengurusan kesakitan, melegakan tanda penyakit, dan menyokong pemulihan.
Perkongsian ini dimeterai pada 9 Oktober di Kongres Kesihatan dan Bioperubatan Singapura yang ke-23, yang diadakan di Singapore Expo.
Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Koh Poh Koon, berkata kerjasama ini bukan sahaja menyelaras usaha klinikal dan akademik untuk meningkatkan penjagaan pesakit, tetapi juga “memberi latihan bersilang untuk pelajar TCM dan perubatan Barat serta memajukan penyelidikan berasaskan bukti dalam perubatan Berpadu.”
“Kerjasama ini akan melengkapkan lebih banyak klinik dengan kemahiran untuk memenuhi permintaan penjagaan berpadu yang semakin meningkat,” tambah Dr Koh.
Di bawah perkongsian ini, pelajar tahun akhir TCM akan menjalani latihan klinikal di TTSH mulai 2027.
Mereka akan memerhatikan cara perubatan TCM dan Barat digabungkan dalam penjagaan pesakit, sambil mempelajari pengetahuan praktikal yang disesuaikan dengan sistem penjagaan kesihatan Singapura.
Kerjasama ini akan mengukuhkan latihan pengamal TCM, kata Profesor Benjamin Seet, pengerusi kumpulan lembaga perubatan (penyelidikan) dan pengerusi bersama Pejabat Kerjasama Akademik di pengendali penjagaan kesihatan, NHG Health.
Merujuk kepada Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2022, Dr Quah Teik Joo, yang mengetuai perubatan berpadu pelengkap di TTSH, mendedahkan sekitar satu daripada lima orang dewasa di Singapura, menggunakan khidmat TCM setiap tahun, dengan 40 peratus daripadanya menggabungkan TCM dan perubatan Barat.
“Khususnya dalam rawatan akupunktur, ia telah terbukti secara saintifik membantu dalam pengurusan kesakitan, merawat masalah saraf dan juga perubahan hormon. Kami akan meneroka semua kaedah lain dalam TCM untuk memahami cara rawatan mereka,” tambahnya.
Dr Quah, yang juga seorang pakar perunding perubatan am, berkata rawatan pesakit dalam menggunakan TCM pada masa ini terhad kepada akupunktur, yang ditawarkan di TTSH, Hospital Masyarakat Renci, dan Hab Jagaan Bersepadu TTSH.
Pengarah sains bioperubatan dan perubatan Cina di Sekolah Sains Biologi NTU, Profesor Linda Zhong, berkata matlamatnya adalah menggabungkan penyelidikan sains bioperubatan dan latihan TCM untuk merawat pesakit.
Siswa TCM tahun kedua, Cik Aw Xi Han dan Cik Chandraratne Aiko Tiranya Kumari, kededuanya 20 tahun, menyertai Dr Quah semasa lawatan di TTSH pada 8 Oktober, bagi mendapat gambaran tentang apa yang menanti mereka semasa latihan tahun akhir mereka.
Cik Aw berkata beliau memilih TCM “kerana ia adalah rawatan yang paling kurang invasif dan mempunyai sejarah panjang dalam mengekalkan keseimbangan menyeluruh untuk memastikan kesihatan pesakit dipelihara dengan baik.”
Bagi Cik Aiko pula, cintanya terhadap budaya Cina mencetus inspirasi baginya mempelajari TCM.
Selain NHG Health, perkhidmatan TCM juga telah digabungkan dengan perubatan Barat di dua kelompok penjagaan kesihatan awam lain – SingHealth dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg