Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menara Perubatan TTSH baru sedia 600 katil akut

Tawar jabatan kecemasan lebih besar, akses lebih cepat kepada rawatan pakar
Sep 9, 2025 | 3:56 PM
Tan Tock Seng  hospital, Tang Kong Choong, Ong Ye Kung
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tengah), bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Encik Tang Kong Choong (kiri), melawat pelancaran fasa kedua, Pelan Induk HealthCity Novena, pada 9 September. - Foto ST

Hospital Tan Tock Seng (TTSH) akan mendapat tambahan 600 katil akut dan jabatan kecemasan lebih besar di bawah rancangan membangunkan bekas Pusat Penyakit Berjangkit 2 dan bangunan Annex 2 menjadi menara perubatan.

Projek itu akan memberi pesakit akses lebih cepat kepada rawatan pakar dan penjagaan intensif bagi keadaan perubatan yang teruk, rumit atau mengancam nyawa dalam rangkaian bersepadu Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) Health.

Dengan masa menunggu yang lebih pendek, pesakit dapat bergerak lancar antara penjagaan asas, lanjut dengan masyarakat, lapor The Straits Times (ST).

Menara Perubatan TTSH itu menandakan fasa kedua Pelan Induk HealthCity Novena, yang dilancarkan pada 9 September.

Semasa pelancaran fasa baru itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata:

“Seiring dengan peningkatan penduduk yang semakin menua dan keperluan penjagaan kesihatan yang kian rumit, kita memerlukan lebih daripada sekadar pembaharuan kemudahan. (Kita perlukan) pembaharuan besar.”

Beliau, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata fasa baru itu akan meneruskan kejayaan fasa pertama, yang telah siap pada 2024.

“Fasa kedua akan memperkenalkan kemudahan penjagaan kesihatan baru dan meningkatkan keupayaan melalui inovasi dalam proses serta pengurusan aliran pesakit dengan lebih baik,” katanya.

Diketuai oleh TTSH, pembangunan itu adalah langkah penting dalam pelan NHG Health untuk memperkukuh kapasiti penjagaan kesihatannya, memperbaiki akses kepada campur tangan perubatan dan meningkatkan hasil penjagaan klinikal bagi 1.5 juta penduduk di tengah dan utara Singapura.

Encik Ong berkata Menara Perubatan TTSH “akan direka supaya lebih cekap, dengan laluan penjagaan yang dipermudah, rawatan lebih tertumpu dan pemulihan lebih pantas”.

Sepanjang 10 tahun lalu, NHG Health telah mengembangkan prasarana dan keupayaan klinikalnya untuk memenuhi keperluan penduduk yang pelbagai, termasuk memulakan Pelan Induk HealthCity Novena.

Di bawah fasa pertama antara 2017 dengan 2024, lima pembangunan telah disiapkan.

Antaranya ialah Bangunan Sains Klinikal Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan Ng Teng Fong, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), Pusat Kulit Nasional (NSC) dan Hab Penjagaan Bersepadu TTSH.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TTSH, Dr Tang Kong Choong, berkata membina lebih banyak kemudahan yang sama tidak akan mencukupi.

“Kami akan merancang kapasiti dengan lebih bijak dan berdaya tahan untuk menghadapi cabaran penduduk yang semakin menua, menyokong tenaga kerja dan meningkatkan hasil penjagaan kesihatan,” tambahnya.

Sebagai antara penyedia penjagaan kecemasan yang paling sibuk di Singapura, TTSH bertindak sebagai responden pertama untuk menangani pelbagai kecemasan perubatan dan nasional.

Sepanjang tiga tahun lalu, jabatan kecemasannya telah menguruskan lebih 125,000 kes setiap tahun.

Dikelilingi kawasan perumahan matang, TTSH berkhidmat kepada penduduk dengan peratusan warga emas yang lebih tinggi daripada purata negara. 

Pada 2023, pesakit berumur 65 tahun dan ke atas adalah 1.5 kali ganda daripada purata nasional bagi lelaki dan 2.2 kali ganda untuk wanita.

Pada 2024, sekitar dua daripada lima (40 peratus) pesakit kecemasan berusia 65 tahun dan ke atas – peningkatan daripada sekitar tiga daripada 10 (30 peratus) lima tahun lalu.

TTSH merancang memindahkan jabatan kecemasannya ke Menara Perubatan TTSH dan mengembangkannya bagi menampung jumlah kes kecemasan yang tinggi, terutama bagi warga emas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg