Percutian yang sepatutnya menenangkan fikiran di Eropah bertukar menjadi satu kejutan besar buat jurulatih Zumba bebas, Cik Nira Backhouse.

Sebaik sahaja mendarat di Switzerland pada 10 September, beliau menerima e-mel yang mengumumkan pembubaran dan penutupan semua cawangan True Fitness dan True Yoga di Singapura, sekali gus menamatkan kerjayanya selama hampir 15 tahun bersama rangkaian gimnasium berkenaan secara mendadak.

Namun, rasa bimbang dan sedihnya hanya sementara, apabila beliau dengan pantas menghantar resume untuk mencari peluang baharu.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) pada 14 September, beliau sudah pun mendapat tawaran kerja baharu daripada dua rangkaian kecergasan lain dan sedang mempertimbangkan untuk menyewa ruang bagi mengendalikan kelas sendiri.

Cik Nira merupakan salah seorang daripada ramai kakitangan dan pelanggan yang terjejas oleh penutupan tergempar rangkaian True Fitness dan True Yoga di seluruh Singapura pada 10 September.

Cik Nira, 50 tahun, memberitahu BH:

“Walaupun adanya rasa risau, saya perlu bergerak maju. Bagi saya, lebih banyak pintu akan dibuka apabila satu pintu ditutup.

“Saya sempat menghantar resume dan memohon kerja di beberapa syarikat, dan alhamdulillah, saya berjaya mendapat beberapa tawaran kerja.”

Menjelang Oktober, beliau bakal mengendalikan sesi Zumba bersama 1Fiesta dan bersama pengendali pusat beli-belah Velocity Novena.

Sebelum ini, Cik Nira mengendalikan sekitar lapan sesi Zumba setiap minggu di True Fitness.

Beliau juga menjalankan sesi Zumba di Velocity Novena, yang juga dianjurkan oleh True Fitness sebelum pembubarannya.

Cik Nira sudah berkhidmat bersama True Fitness sejak beliau menerima sijil jurulatih Zumba.

Maka itu, penutupan tergempar rangkaian gimnasium itu tetap merupakan detik yang pahit baginya.

“Berita ini memang mengejutkan. Walaupun saya jurulatih bebas, saya telah membina rangkaian pelanggan serta menjalin banyak persahabatan sepanjang kerjaya saya.

“Daripada hanya sekitar lima peserta pada awalnya, kelas saya berkembang sehingga disertai 60 orang. Saya berharap dapat bertemu mereka lagi pada masa hadapan.”

True Fitness dan True Yoga berada di bawah True Singapore Group, yang turut mengendalikan pusat kecergasan dan yoga TFX serta Yoga Edition di sini.

Secara keseluruhannya, jenama itu mengendalikan tujuh cawangan di Singapura.

Ia termasuk tiga cawangan True Fitness di Djitsun Mall Ang Mo Kio, NTUC Income@Tampines Junction dan Velocity di Novena. Cawangan keempat di Great World tidak tersenarai lagi di laman web True Fitness.

Cawangan bersama TFX dan Yoga Edition juga beroperasi di CIMB Plaza di Raffles Place dan Millenia Walk. Cawangan ketiga TFX pula terletak di Funan.

Menurut Cik Nira, beliau dan rakan sekerjanya dimaklumkan tentang penutupan mendadak itu menerusi e-mel pada 10 September.

Dalam e-mel itu yang dilihat oleh BH, jabatan sumber manusia True Group memaklumkan bahawa True Yoga Pte Ltd dan True Fitness Pte Ltd telah diletakkan di bawah pembubaran pada 10 September.

Kemudian, kesemua cawangan akan ditutup berkuat kuasa serta-merta dan tidak akan dibuka mulai 11 September.

Mereka turut diarah agar pergi ke pejabat ibu di Claymore Hill untuk langkah seterusnya.

Dalam pada itu, terdapat beberapa wadah bantuan yang disediakan untuk pekerja yang terjejas, seperti oleh Pakatan Kecergasan Singapura (SFA)

SFA merupakan sebuah badan bukan raih untung yang dianggotai oleh sebahagian besar rangkaian gimnasium Singapura.

Badan itu kini dalam proses membantu sekurang-kurangnya 188 pekerja True Fitness dan True Yoga yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

Menjawab pertanyaan BH pada 14 September, Presiden dan Pengasas Bersama SFA, Encik Sean Tan, berkata SFA difahamkan bahawa sekitar 40 pekerja terjejas sudah mendapat pekerjaan sesuai.

Setakat 14 September, lebih 40 syarikat dan perniagaan telah menyatakan keinginan untuk menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada mereka yang terjejas, katanya.

Ini termasuk syarikat seperti Fitness First, Anytime Fitness, Virgin Active, PURE Group, SJ Defence, UOB dan selainnya.

Inisiatif tersebut dijayakan dengan kerjasama Persatuan Instruktor dan Jurulatih Nasional (Nica) – sebuah persatuan yang ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) – serta e2i, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC.

“Ini merupakan usaha yang pertama. Kemudian, Nica dan e2i akan membantu dalam padanan pekerjaan yang berpotensi, serta latihan semula kemahiran bagi mereka yang memerlukannya.

Beberapa anggota SFA turut mempertimbangkan langkah menawarkan keahlian kepada pelanggan True Fitness dan True Yoga yang terjejas, dedah Encik Tan.

“Secara realistik, ia agak sukar untuk anggota SFA mengiktiraf atau mengembalikan nilai keahlian mahupun pakej jurulatih peribadi yang belum digunakan.

“Apa yang lebih berkemungkinan ditawarkan ialah kelonggaran atau yuran pendaftaran khas bagi menyertai keahlian baharu,” katanya.

Ramai pelanggan True Fitness dan True Yoga terkejut dan bimbang apabila mendapat tahu tentang penutupan tersebut setelah tiba di gimnasium, atau menerusi laporan media dan wadah media sosial.

Antaranya termasuk Encik Mohammad Alif Zainal, 25 tahun, yang mendapat tahu mengenai penutupan itu menerusi aplikasi True Fitness pada 11 September.

Ketika dihubungi BH, Encik Alif berkata:

“Saya sebenarnya ingin mendaftarkan diri untuk kelas menerusi aplikasi, namun saya terlihat notis bahawa semua cawangan True Fitness sudah tutup.”

Guru di Sekolah Pathlight itu telah membayar lebih $3,500 untuk keahlian selama tiga tahun pada April 2024. Ia merangkumi akses kepada semua gimnasium serta pelbagai kelas kecergasan.

“Saya cuba berhubung pengurus akaun keahlian saya pada 11 September juga, namun beliau, seperti ramai lagi pekerja di True Fitness, turut terkejut dengan situasi ini dan telah hilang kerja,” jelas Encik Alif.

Turut terjejas ialah bakal isterinya, Cik Insyirah Hamizan.

Namun, Encik Alif merasakan jumlah kerugian yang ditanggung Cik Insyirah adalah lebih rendah, memandangkan beliau hanya membayar keahlian bulanan sekitar $114, bukannya melunaskan bayaran penuh pakej tiga tahun dari awal.

Bagaimanapun, Encik Alif sudah menerima hakikat situasi itu, meskipun kerugian tempoh sekitar lapan bulan untuk melanggan di True Fitness.

Insiden tersebut menjadi iktibar baginya agar lebih berhati-hati sebelum membuat bayaran penuh terdahulu untuk sebarang pakej atau khidmat.