Kertas undi dan dokumen lain yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan dimusnahkan pada 22 November, kata Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 10 November.
Langkah ini mengikut Akta Pilihan Raya Parlimen 1954. Semua kotak bertutup yang mengandungi kertas undi dan dokumen lain akan dipindahkan dari Mahkamah Agung ke Loji Pembakaran Tuas Selatan. Semua dokumen-dokumen tersebut akan dimusnahkan di sana.
Menurut akta tersebut, semua barang-barang itu mesti disimpan dalam keadaan terkunci dan dijaga dengan selamat selama enam bulan. Selepas itu, ia akan dimusnahkan melainkan jika diarahkan sebaliknya oleh perintah Presiden, lapor The Straits Times (ST).
Ini bertujuan memastikan kerahsiaan undian, kata ELD.
ELD turut menambah mereka akan menghubungi calon atau wakil mereka bagi menyaksikan proses tersebut.
Lebih 2.4 juta rakyat Singapura mengundi di 1,240 pusat pengundian di seluruh Singapura pada 3 Mei lalu.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi 65.57 peratus undi, memperoleh 87 daripada 97 kerusi di Parlimen. Parti Pekerja (WP) pula kekal dengan 10 kerusinya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg