Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerugian meningkat akibat penyamaran licik

Sep 16, 2025 | 12:59 PM
Membanteras penipuan memerlukan komitmen bersama; setiap individu bertanggungjawab melindungi diri dan orang tersayang.
Membanteras penipuan memerlukan komitmen bersama; setiap individu bertanggungjawab melindungi diri dan orang tersayang. - Foto ISTOCKPHOTO

Bagi Cik Jacqueline Leong, makan malam dua minggu sekali bersama mentuanya bukan sekadar kesempatan mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah peluang berharga memastikan mereka selamat daripada ancaman dan mangsa penipuan.

Pegawai pemasaran berusia berusia 40 tahun itu sentiasa mengambil peluang untuk memberitahu ahli keluarganya, termasuk mentua yang berusia 70-an tahun dan tinggal sendirian, tentang taktik penipuan terbaru yang dilaporkan dalam berita.

Apa kebimbangan terbesar Cik Leong? Ia adalah penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah, apabila penipu menyamar sebagai pegawai daripada agensi seperti polis, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Penipu akan memperdayakan mangsa dengan mendakwa akaun bank mereka telah digunakan untuk kegiatan pengubahan wang haram.

Mangsa kemudian diminta menyerahkan wang dalam akaun mereka dengan memindahkannya ke “akaun keselamatan” bagi tujuan siasatan, atau menyerahkan wang tunai atau jongkong emas secara fizikal kepada orang tidak dikenali.

Jumlah kes penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah melonjak 199.2 peratus kepada 1,762 kes dalam separuh pertama 2025, berbanding tempoh sama pada 2024.

Mangsa kerugian kira-kira $126.5 juta secara keseluruhan, meningkat 88.3 peratus.

Angka itu diperoleh daripada laporan pertengahan tahun 2025 mengenai penipuan dan jenayah siber yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 30 Ogos.

Cik Leong menjelaskan bahawa mentuanya, seperti ramai warga emas lain, mudah berasa bimbang apabila menerima panggilan tidak dijangka yang kononnya berkaitan “urusan rasmi”.

“Ia boleh menjadi pengalaman amat menakutkan, lebih-lebih lagi apabila penipu mempunyai maklumat peribadi seperti nama penuh, atau mendakwa butiran tersebut telah digunakan dalam kegiatan haram,” katanya.

Ketakutan inilah yang sering dieksploitasi oleh penipu.

“Penipuan sememangnya selalu bertujuan memerangkap mangsa ketika mereka tidak bersedia,” jelas Encik Jeffery Chin, Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, SPF.

“Penipu sengaja mencetuskan perasaan berlebihan, seperti ketakutan atau keterujaan, lalu menggunakan taktik pujukan halus untuk mengambil kesempatan terhadap naluri manusia,” tambah beliau.

Dalam saat penuh emosi sebegitu, tambah Encik Chin, “kita cenderung kurang berhati-hati (dalam menilai keadaan) dan akhirnya mudah terjerumus dan tunduk kepada permintaan si penipu”.

Oleh itu, tegasnya, tiada siapa yang tidak terkecuali; bahkan mereka yang dianggap celik digital juga boleh terjerat dan menjadi mangsa.

Benteng pertahanan kukuh

Laporan SPF mencatatkan bilangan keseluruhan kes penipuan berkurangan daripada 26,563 pada separuh pertama 2024 kepada 19,665 dalam tempoh sama 2025. Jumlah kerugian juga berkurangan, daripada $522.4 juta kepada kira-kira $456.4 juta.

Walaupun terdapat penurunan keseluruhan kes dan jumlah kerugian, “situasi penipuan masih membimbangkan”, kata Encik Chin.

Beliau menjelaskan bahawa majoriti kes penipuan (78.8 peratus) melibatkan pemindahan wang oleh mangsa sendiri, setelah dipujuk oleh penipu.

“Pemerintah tetap komited dalam usaha menentang penipuan,” tambah Encik Chin.

“Namun, membanteras penipuan memerlukan komitmen bersama seluruh masyarakat; setiap individu harus memikul tanggungjawab untuk melindungi diri mereka dan orang yang mereka sayangi.”

Encik Chin menegaskan bahawa segelintir golongan muda digital beranggapan mereka ‘terlalu cerdik teknologi’ untuk ditipu. Namun, tanggapan ini salah dan boleh menjerumuskan mereka ke dalam sikap cuai dan lalai, serta rasa terlalu selesa dan selamat.

Keadaan ini boleh membuat mereka memandang ringan akan taktik licik penipu, sekali gus mengurangkan kewaspadaan dan mengabaikan langkah melindungi diri.

Bagi menangani risiko tersebut, Encik Chin menekankan kepentingan mengamalkan sikap proaktif serta langkah perlindungan tepat, kerana, menurut beliau, “usaha ini akan memperkukuh ketahanan kolektif masyarakat terhadap penipuan”.

Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. Amalkan sikap proaktif serta langkah perlindungan yang tepat.
Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. Amalkan sikap proaktif serta langkah perlindungan yang tepat. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg