Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Satu klik yang bawa padah

DENGAN KERJASAMA PASUKAN POLIS SINGAPURA (SPF)
Jun 16, 2024 | 5:30 AM
Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada dan menghindari menggunakan aplikasi yang tidak diyakini.
Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada dan menghindari menggunakan aplikasi yang tidak diyakini. - Foto ISTOCKPHOTO

Sangkanya, beliau sedang mendapat bantuan untuk menghapuskan perisian hasad di komputernya.

Sebaliknya, lelaki berusia 79 tahun itu kehilangan $173,000 – lebih separuh daripada simpanan seumur hidupnya – dalam masa 15 minit sahaja.

Pada 17 April, Encik Tan (bukan nama sebenar) menerima pemberitahuan/notifikasi “antivirus” yang memberi amaran tentang perisian hasad yang telah dikesan di perantinya.

Dek rasa cemas, beliau menghubungi “talian bantuan sokongan” yang tertera pada notis pemberitahuan tersebut.

Dalam tempoh tiga jam berikutnya, Encik Tan telah memberikan akses komputernya kepada pemanggil tersebut yang menyamar sebagai pegawai daripada jabatan jenayah siber polis Singapura.

Disebabkan percaya panggilan itu sahih, beliau turut menyerahkan butiran log masuk untuk akaun perbankan Internet DBS, UOB dan OCBC miliknya.

Kemudian pegawai bank DBS yang sebenar menghubunginya – untuk bertanyakan tentang transaksi yang dibuatnya.

Encik Tan baru sedar yang beliau telah terpedaya oleh penipu yang telah mencuri wang sebanyak $173,000 daripada akaun banknya dalam masa 15 minit.

Beliau telah membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam tempoh empat bulan pertama 2024, sekurang-kurangnya 150 warga Singapura telah diperdaya oleh penipuan sokongan teknikal, kata polis. Jumlah kerugian berjumlah lebih daripada $15.1 juta.

Penipuan sokongan teknikal telah menyasarkan pengguna melalui pelbagai peranti pengkomputeran termasuk komputer peribadi, komputer riba dan tablet, kata Encik Jeffrey Chin, timbalan pengarah di Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, Jabatan Operasi, Pasukan Polis Singapura (SPF).

“Pengguna kedua-dua program Windows dan macOS berdepan dengan risiko,” beliau memberi amaran.

Kenal pasti penipuan

Makluman notifikasi yang diterima selalunya kelihatan seperti mesej yang sahih, dengan mendakwa ia daripada syarikat yang dikenali seperti daripada Microsoft atau Apple.

Jadi, bagaimana seseorang boleh mengenal pasti adakah ia percubaan penipuan?

Encik Dennis Chung, ketua pegawai keselamatan di Microsoft Singapore, berkata:

“Syarikat sahih yang bereputasi biasanya tidak akan menghubungi seseorang atau pengguna tanpa kebenaran atau juga melalui pemberitahuan/notifikasi.”

Beliau menasihatkan orang ramai agar membiasakan diri dengan cara pengendali sofwe menawarkan sokongan teknikal dan meminta bayaran. Sebagai contoh, mesej ralat dan amaran Microsoft tidak pernah menyertakan nombor telefon.

“Jika tidak pasti, semak laman web rasmi untuk maklumat lanjut,” tambahnya.

Anda juga harus menghindari daripada menggunakan aplikasi yang tidak dikenal pasti, terutamanya daripada sumber yang tidak rasmi.

Encik Chung menambah:

“Hanya gunakan sofwe sahih yang dimuat turun daripada sumber yang dipercayai seperti daripada laman web rasmi pembangun atau daripada aplikasi yang bereputasi.”

Terus berjaga-jaga, usah klik pada pautan atau notifikasi yang meragukan.
Terus berjaga-jaga, usah klik pada pautan atau notifikasi yang meragukan. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Lindungi diri anda dan kongsi trend antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan.
Lindungi diri anda dan kongsi trend antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg