Seorang bekas pegawai polis yang disabitkan dengan pembunuhan seorang bapa dan anak lelakinya pada 2013 di Kovan digantung pada 5 Februari.
Pasukan Polis Singapura berkata hukuman mati telah dikenakan ke atas Iskandar Rahmat, 46 tahun, yang petisyennya kepada Presiden untuk pengampunan tidak berjaya.
Iskandar dijatuhi hukuman gantung pada 4 Disember 2015 selepas dia disabitkan dengan pembunuhan Encik Tan Boon Sin, 67 tahun, dan anak sulungnya, Encik Tan Chee Heong, 42 tahun, di rumah Encik Boon Sin di Hillside Drive pada petang 10 Julai 2013.
Iskandar merayu terhadap sabitan dan hukumannya, tetapi Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 3 Februari 2017, yang juga hari lahirnya yang ke-38, lapor The Straits Times.
Polis berkata dia telah diberi proses sewajarnya di bawah undang-undang, dan diwakili peguam bela dalam perbicaraan dan rayuan.
Polis menambah: “Hukuman mati dikenakan hanya untuk jenayah paling serius, termasuk pembunuhan.”
Butir-butir mengerikan mengenai kematian tersebut dan pencarian Iskandar selama 54 jam setelah dia melarikan diri ke Malaysia mengejutkan Singapura pada waktu itu.
Pegawai polis selama 14 tahun itu sedang berdepan dengan kemungkinan muflis pada 2013 apabila dia merancang mencuri daripada Encik Boon Sing, seorang pemilik bengkel kereta berusia 67 tahun.
Iskandar, yang ketika itu berusia 34 tahun, mengetahui daripada satu laporan polis yang dibuat oleh Encik Boon Sin bahawa beliau menyimpan sejumlah besar wang tunai di dalam sebuah peti simpanan.
Pada 10 Julai 2013, Iskandar memujuk Encik Boon Sin supaya mengeluarkan wangnya dari kotak itu agar kamera boleh diletakkan di dalamnya.
Dia kemudian mengiringi mangsa pulang ke rumah teresnya di Hillside Drive, tempat staf sarjan kanan itu menikam dan menetak mangsa sebanyak 27 kali.
Ketika anak lelaki mangsa yang berusia 42 tahun memasuki rumah itu, Iskandar turut menikamnya.
Iskandar kemudian mengheret Encik Chee Heong di bawah keretanya sejauh hampir satu kilometer, meninggalkan kesan darah yang disaksikan dengan ngeri oleh beberapa orang yang lalu-lalang.
Dua hari selepas Iskandar melarikan diri dari Singapura, dia ditangkap di Johor Bahru di sebuah restoran makanan laut hanya beberapa minit jaraknya dari Koswe.
Pada 2015, dia didapati bersalah atas dua pertuduhan membunuh selepas satu perbicaraan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg