Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki ditahan kerana disyaki bunuh wanita yang beri tempat berteduh

Nov 29, 2024 | 4:18 PM
Nota yang diletakkan oleh polis untuk memberitahu orang ramai supaya tidak menanggalkan mangga di luar unit di Blok 125 Ang Mo Kio Avenue 6, tempat seorang lelaki berusia 66 tahun ditahan kerana disyaki membunuh, pada 29 November.
Nota yang diletakkan oleh polis untuk memberitahu orang ramai supaya tidak menanggalkan mangga di luar unit di Blok 125 Ang Mo Kio Avenue 6, tempat seorang lelaki berusia 66 tahun ditahan kerana disyaki membunuh, pada 29 November. - Foto ST

Seorang lelaki berusia 66 tahun ditahan di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Ang Mo Kio kerana disyaki membunuh seorang wanita berusia 67 tahun pada 29 November.

Wanita itu ditemui terbaring tidak bergerak di sebuah unit di Blok 125 Ang Mo Kio Avenue 6, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan sekitar 1.25 pagi.

Siasatan awal menunjukkan kededua pihak mengenali satu sama lain. Siasatan sedang dijalankan.

Lelaki itu ditahan di tempat kejadian, dan akan didakwa atas tuduhan membunuh pada 30 November.

Jika didapati bersalah, dia menghadapi hukuman mati.

Termasuk kejadian itu, terdapat lapan kes pembunuhan atau dakwaan membunuh di Singapura setakat ini pada 2024.

Apabila The Straits Times melawat unit di tingkat empat itu kira-kira 1 tengah hari, satu notis polis diletakkan di luar flat tersebut.

Notis itu mengatakan bahawa unit tersebut dimangga untuk siasatan, dan orang ramai diingatkan supaya jangan menanggalkan mangga itu.

Seorang jiran sebelah rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Rahimah, berkata kedua-dua lelaki dan mangsa tinggal bersama, dan pertengkaran kuat sering kedengaran dari unit itu.

Beliau pada mulanya menyangka pasangan itu suami isteri, tetapi mendengar daripada rakan wanita tersebut bahawa mereka hanya kawan.

Suri rumah berusia 55 tahun yang sudah 10 tahun menetap di blok itu berkata beliau pernah melihat wanita tersebut mengalami kecederaan di muka.

Cik Rahimah berkata pada kira-kira 11 pagi 28 November, beliau terdengar bunyi bising dari unit itu, sebelum ia senyap sepanjang hari.

“Apabila suami saya pulang dari kerja kira-kira 8.30 malam, beliau turut berkata keadaan sunyi itu luar biasa,” katanya.

Seorang lagi jiran yang tinggal di tingkat yang sama berkata keluarganya tidak mendengar apa-apa yang luar biasa pada malam 28 November, mungkin juga kerana hujan lebat.

“Beliau tidak banyak bercakap dengan jiran lain, beliau lebih suka menyendiri. Tetapi kadang-kadang saya terdengar beliau memarahi seseorang sepanjang malam dan merungut dengan kuat,” katanya.

Seorang rakan mangsa itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lim, memanggil wanita itu sebagai “Ah Hua”.

Beliau menambah, mangsa dan suspek sudah mengenali antara satu sama lain sejak lebih 10 tahun lalu, namun beliau tidak tahu bagaimana mereka berkenalan.

Menurut Cik Lim, mangsa, yang telah menetap di unit itu selama lebih 40 tahun, telah bercerai dan mempunyai empat anak.

Mangsa berasa kasihan terhadap suspek, yang tidak mempunyai tempat tinggal, dan membenarkannya tinggal di unit itu, tambah Cik Lim, yang melawat tempat kejadian pada petang 29 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg