Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh di Sepanyol: Mangsa ingin jalin hubungan cinta dengan suspek

Jun 27, 2024 | 4:55 PM
Warga Singapura, Cik Audrey Fang (kanan) bertemu dengan Mitchell Ong, di rangkaian temu janji sosial, kata dua rakan Cik Fang.
Warga Singapura, Cik Audrey Fang (kanan) bertemu dengan Mitchell Ong, di rangkaian temu janji sosial, kata dua rakan Cik Fang. - Foto STRONGESTASIAN/ INSTAGRAM, FANG DIROU/ FACEBOOK

Warga Singapura, Cik Audrey Fang, yang dibunuh di Sepanyol pada April, berminat menjalin hubungan cinta dengan lelaki yang disyaki membunuhnya.

Beliau bertemu dengan suspek tersebut, Mitchell Ong, di rangkaian temu janji sosial, kata dua rakan Cik Fang kepada mahkamah Sepanyol.

Bercakap pada 26 Jun melalui satu panggilan video dari Singapura dengan dibantu seorang penterjemah, dua rakannya memberi keterangan bahawa pasangan tersebut mengenali satu sama lain sejak 2014.

Mereka menyifatkan hubungan antara Cik Fang dengan lelaki itu sebagai “sekejap ada, sekejap tiada”, lapor media Sepanyol, La Verdad pada 27 Jun.

Dua rakan yang tidak dinamakan itu menambah bahawa Ong kelihatan hanya berminat menjual aset kewangan kepada Cik Fang, lapor The Straits Times (ST).

Ong, 43 tahun, yang juga warga Singapura, menjual dua polisi insurans berkaitan pelaburan kepada Cik Fang pada 2015, ketika dia bekerja sebagai ejen insurans dengan syarikat insurans AIA.

Sebelum ini, dia juga mendakwa dirinya sebagai pakar kewangan di lelaman yang kini tidak lagi wujud, dengan pelanggan termasuk ketua eksekutif dan selebriti.

Ong ditahan sejak 16 April selepas Cik Fang, 39 tahun, ditemui mati dengan lebih 30 kesan tikaman dan kecederaan lain berhampiran kawasan letak kenderaan lori di bandar Abanilla pada 10 April.

Lokasi tersebut terletak sekitar 150 kilometer dari hotelnya.

Ong, yang menginap di hotel berasingan, ditahan di dalam biliknya di mana beberapa barangan milik mangsa, termasuk telefon bimbit, ditemui.

Peguam Sepanyol yang mewakili keluarga Cik Fang, Encik Manuel Martinez, berkata dua saksi tersebut adalah kawan rapat mangsa.

Encik Martinez memberitahu media, Cik Fang menceritakan kepada dua rakannya itu bahawa beliau sedang menjalin hubungan dengan Ong.

Cik Fang juga beritahu mereka mengenai rancangannya untuk bertemu lelaki itu di Sepanyol semasa percutiannya.

Pengawal Awam Sepanyol, salah satu daripada dua pasukan polis negara itu, sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai motif “ekonomi” dalam kes pembunuhan itu.

Ong dicalonkan sebagai satu-satunya benefisiari dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) milik Cik Fang, yang dilaporkan berjumlah sekitar $498,000.

Satu laporan sebelum ini menyatakan bahawa enam bulan sebelum beliau dibunuh, Cik Fang telah memasukkan wang hampir $200,000 ke akaun CPFnya, yang diraih daripada produk berkaitan pelaburannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg