Memandangkan kejadian pembunuhan warga Singapura, Cik Audrey Fang, berlaku di Sepanyol, Singapura tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes tersebut, dan oleh itu, tidak dapat menyiasat atau mendakwa suspek warga Singapura, Mitchell Ong, jika dia dihantar pulang.
Ini berikutan berita pada 28 Mei bahawa satu permohonan untuk menghantar pulang lelaki berusia 44 tahun itu oleh pihak imigresen Sepanyol telah ditolak oleh seorang hakim di mahkamah Sepanyol.
Menjawab pertanyaan media, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada 29 Mei bahawa ia telah menyampaikan pendiriannya kepada rakan sejawat di Sepanyol, dan bahawa pemerintah Singapura bersedia memberikan bantuan, selaras dengan undang-undang Singapura.
Sementara itu, agensi penguat kuasa undang-undang di Sepanyol telah memberitahu MHA bahawa mereka kini sedang mendakwa Ong di Sepanyol, lapor The Straits Times (ST).
Berita bahawa mahkamah di Sepanyol telah menolak permohonan untuk menghantar Ong pulang, yang disyaki membunuh rakan senegaranya itu, pertama kali dilaporkan oleh akhbar harian Sepanyol, La Opinion de Murcia, pada 28 Mei.
Permohonan tersebut dibuat oleh Suruhanjaya Umum bagi Pendatang dan Sempadan Sepanyol, sebuah agensi polis nasional yang mengurus hal imigresen dan kawalan sempadan, dan turut disokong oleh peguam yang mewakili keluarga Cik Fang.
Namun, hakim tersebut menegaskan bahawa permintaan untuk menghantar pulang tertuduh tidak memenuhi syarat yang digariskan dalam undang-undang Sepanyol.
Antara syarat tersebut ialah pengusiran serta-merta hanya boleh dilakukan jika seseorang itu telah didakwa melakukan jenayah dan dikenakan hukuman penjara kurang daripada enam tahun, atau dikenakan hukuman alternatif seperti denda.
Memandangkan hukuman penjara minimum bagi pertuduhan membunuh yang mungkin dihadapi Ong ialah 15 tahun, dia tidak memenuhi syarat tersebut.
Peguam Ong, Cik Maria Jesus Ruiz de Castaneda, pernah memaklumkan pada awal Mei bahawa beliau menentang permohonan tersebut.
Cik Ruiz de Castaneda berkata pengusiran tersebut melanggar undang-undang dan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui Sepanyol.
“Dia masih dalam prosiding jenayah di Sepanyol dan perlu dibicarakan di sini,” katanya.
Ong ditahan sejak 16 April 2024, selepas mayat Cik Fang ditemui pada 10 April berhampiran kawasan letak lori di Abanilla.
Dua rakan Cik Fang memberitahu mahkamah pada 26 Jun 2024 bahawa mangsa dan Ong berkenalan melalui aplikasi dating.
Peguam keluarga Cik Fang, Encik Martinez, berkata Cik Fang memaklumkan beliau mahu bertemu Ong semasa bercuti di Sepanyol.
Cik Fang, seorang arkitek berusia 39 tahun, berlepas dari Singapura pada 4 April untuk melancong seorang diri ke Xabia, wilayah Valencia.
Beliau sepatutnya pulang lapan hari kemudian, tetapi gagal dihubungi pada 10 April.
Bedah siasat mendapati beliau meninggal dunia akibat tikaman dan kecederaan di kepala.
DNA dua lelaki ditemui pada pakaiannya, menimbulkan kemungkinan lebih dari seorang terlibat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg