Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh di Sepanyol: Suspek dikait dengan DNA ditemui pada mayat Audrey Fang

Jun 19, 2025 | 5:27 PM
Mitchell Ong, Audrey Fang
Mitchell Ong ditahan di Sepanyol pada April 2024 selepas mayat Cik Audrey Fang ditemui dengan lebih 30 kesan tikaman dan kecederaan lain di bandar Abanilla, Sepanyol. - Foto INSTAGRAM STRONGESTASIAN, FACEBOOK FANG DIROU

Salah satu daripada dua profil DNA yang ditemui pada tubuh seorang wanita Singapura yang dibunuh di Sepanyol pada April 2024 telah dikaitkan dengan suspek tunggal, seorang lelaki Singapura, oleh pakar Sepanyol.

Dua profil DNA lelaki ditemui sebelum ini pada tubuh mangsa, Cik Audrey Fang, dan Institut Nasional Toksikologi dan Sains Forensik Sepanyol mendapati bahawa salah satu daripada profil DNA tersebut sepadan dengan garis keturunan bapa suspek, Mitchell Ong, menurut agensi berita, La Opinion de Murcia, pada 18 Jun.

Padanan tersebut adalah untuk kromosom-Y, iaitu satu set penanda genetik yang diwarisi terus daripada seorang bapa kepada anak lelakinya.

Profil DNA kedua tidak mempunyai kaitan dengan DNA Ong.

Peguam Ong, Cik Maria Jesus Ruiz de Castaneda, berkata penemuan itu tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti seseorang secara pasti, kerana penanda genetik tersebut dikongsi oleh semua anggota lelaki dalam garis keturunan bapa Ong, lapor The Straits Times (ST).

Beliau menambah, penemuan itu “menguatkan keperluan memperluas siasatan untuk melibatkan individu lain yang mungkin terlibat”.

“Mitchell Ong menegaskan kepercayaannya pada keadilan, mempercayai sepenuhnya kerja sistem perundangan Sepanyol, dan akan terus bekerjasama dalam segala usaha yang diperlukan untuk menjelaskan kebenaran,” katanya.

Ong, 43 tahun, ditahan di Sepanyol pada April 2024 selepas mayat Cik Fang ditemui dengan 30 kesan tikaman dan kecederaan lain pada awal bulan itu di bandar Abanilla.

Cik Fang, seorang arkitek, meninggalkan Singapura pada 4 April untuk mengembara sendirian ke Xabia, di wilayah Valencia, Sepanyol.

Beliau dijangka kembali lapan hari kemudian tetapi tidak dapat dihubungi pada 10 April.

Wanita berusia 39 tahun itu meninggal dunia akibat tikaman menggunakan pisau dan trauma kepala.

DNA daripada dua lelaki ditemui pada pakaian beliau, lapor La Opinion pada Mac, yang meningkatkan kemungkinan lebih daripada satu individu terlibat dalam kematiannya.

Ong, yang sebelum ini merupakan seorang ejen insurans dan pakar kewangan, juga didapati telah dinamakan sebagai penerima tunggal simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Cik Fang, dengan akaun tersebut dilaporkan mengandungi $498,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg