Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes curi barang kedai di S’pura naik, majoriti libat belia

Aug 23, 2024 | 3:00 PM
Kes kecurian kedai di Singapura telah meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2024 dengan mencatatkan 2,027 kes berbanding 1,849 kes dalam tempoh yang sama pada 2023.
Kes kecurian kedai di Singapura telah meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2024 dengan mencatatkan 2,027 kes berbanding 1,849 kes dalam tempoh yang sama pada 2023. - Foto fail

Kes pencurian barang kedai di Singapura telah meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2024.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 20 Ogos, jumlah kes pencurian barang kedai pada separuh pertama 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 178 kes, kepada 2,027 kes berbanding 1,849 kes dalam tempoh yang sama pada 2023.

Jenayah ini menyumbang kepada 20.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal yang dilaporkan.

Menurut polis, Singapura menyaksikan 10,106 kes jenayah fizikal pada Januari hingga Jun 2024.

Ia naik sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 yang mencatatkan kes jenayah fizikal sebanyak 9,704.

Perbuatan pencurian barang kedai terus menjadi salah satu jenayah yang sering dilaporkan, dan terutamanya melibatkan golongan belia.

Lebih daripada separuh kes kecurian ini melibatkan jumlah kerugian di bawah $50, dengan barangan seperti produk penjagaan diri, makanan dan minuman, serta kosmetik menjadi sasaran utama.

Kes ini sering dilaporkan terjadi di pasar raya serta kedai penjagaan kesihatan dan kecantikan.

Bercakap kepada Berita Harian di pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Superintendan (Supt) Rudy Dzulkarnaen berkata:

“Jenayah pencurian barang kedai kekal sebagai salah satu kesalahan utama bagi belia.

“Kami ingin mengingatkan pesalah betapa beratnya hukuman apabila disabitkan kesalahan mencuri di kedai.

“Walaupun mereka mungkin tidak ditangkap ketika melakukan kesalahan itu, mereka akhirnya akan ditangkap menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).”

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, polis turut mengetengahkan kepentingan peruncit dalam menghalang dan mencegah pencurian barang kedai.

Polis merakam penghargaan kepada rakan kongsi runcit seperti NTUC Fairprice, Sheng Siong, Watsons, Sephora, Popular, Prime Supermarket dan Mustafa Centre yang telah menyertakan kesemua cawangan mereka ke Program Kesedaran Pencurian Barang Kedai untuk Peruncit (Star).

Di bawah program itu, peruncit dibantu untuk menganalisis faktor risiko dan mengenal pasti langkah pencegahan jenayah yang berkesan, termasuk penggunaan CCTV untuk mengesan pencuri dengan lebih baik.

Polis menggalakkan lebih ramai peruncit menyertai program ini supaya dapat menghalang lebih banyak lagi kecurian di kedai.

Polis juga berkongsi beberapa jenayah lain yang menjadi kebimbangan pada separuh pertama 2024.

Antaranya ialah, kes cabul telah meningkat kepada 708 kes, berbanding 697 kes dalam tempoh yang sama pada 2023, menyumbang kepada 7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal.

Sebanyak 434 kes cabul ini melibatkan pesalah yang dikenali mangsa.

Kes voyeurisme atau mengintai juga mencatatkan peningkatan, dengan 257 kes dilaporkan berbanding 229 kes pada separuh pertama 2023.

Kebanyakan kes voyeurisme berlaku di kawasan kediaman, tempat membeli-belah, dan rangkaian pengangkutan awam namun terdapat peningkatan jenayah ini dilakukan di kompleks sukan atau renang yang meningkat kepada 11 kes berbanding hanya satu kes pada 2023.

Sementara itu, kes kecurian di kediaman meningkat kepada 431 kes, berbanding 424 kes pada tempoh yang sama pada 2023, menyumbang kepada 4.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal.

Kes ini sering melibatkan pelaku yang dikenal pasti oleh mangsa, seperti rakan serumah, ahli keluarga, atau pekerja domestik.

Walaupun jumlah kes jenayah fizikal sedang meningkat, polis menegaskan bahawa keselamatan di Singapura masih terkawal.

Namun Pengarah Jabatan Operasi polis, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Gregory Tan, mengingatkan bahawa kededua individu dan syarikat memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan.

“Walaupun persekitaran kita selamat, penting untuk kita tidak leka.

“Hanya melalui usaha melibatkan seluruh masyarakat, jenayah fizikal boleh terus kekal rendah, dan Singapura boleh terus menjadi salah satu tempat paling selamat di dunia,” ujar beliau.

“Kami ingin mengingatkan pesalah betapa beratnya hukuman apabila disabitkan kesalahan mencuri di kedai. Walaupun mereka mungkin tidak ditangkap ketika melakukan kesalahan itu, mereka akhirnya akan ditangkap menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).” 
Superintendan (Supt) Rudy Dzulkarnaen.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg