Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes curi barang kedai naik, pesalah paling muda 10 tahun

Feb 17, 2025 | 3:00 PM
Jumlah kes curi di kedai meningkat sebanyak 298 kes pada 2024, termasuk yang melibatkan belia berusia antara 10 tahun dengan 19 tahun.
Jumlah kes curi di kedai meningkat sebanyak 298 kes pada 2024, termasuk yang melibatkan belia berusia antara 10 tahun dengan 19 tahun. - Foto ZAOBAO

Jumlah kes curi di kedai naik 7.6 peratus atau sebanyak 298 kes pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, membawa keseluruhan kepada sebanyak 4,237 kes pada 2024.

Perbuatan mencuri di kedai juga kekal sebagai jenayah paling tinggi bagi belia yang diberkas pada 2024, menurut laporan jenayah tahunan yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 17 Februari.

Belia yang ditangkap bagi kes curi di kedai pada 2024 berusia antara 10 tahun dengan 19 tahun.

Lebih separuh kes curi ini melibatkan kerugian di bawah $50, dengan barangan yang dicuri seperti produk penjagaan diri, makanan dan minuman, serta kosmetik menjadi sasaran utama.

Kes curi di kedai menyumbang kepada 21.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal yang dilaporkan.

Secara keseluruhannya, kadar keseluruhan jenayah fizikal di Singapura kekal stabil, menurut laporan itu lagi.

Bercakap kepada media, Pengarah Jabatan Operasi Polis, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Gregory Tan, menekankan pentingnya kesedaran masyarakat dalam mencegah jenayah.

“Pesalah perlu sedar bahawa perkembangan teknologi telah meningkatkan keupayaan pengesanan kes-kes pencurian, sekali gus memperkukuh keupayaan SPF dalam menyelesaikan kes jenayah fizikal.

“Dengan pelaburan berterusan dalam alat teknologi oleh SPF, mereka yang melakukan jenayah akan akhirnya ditangkap dan diambil tindakan mengikut undang-undang,” ujar beliau.

Dalam laporan yang sama, polis menarik perhatian peranan peruncit dalam mencegah kes curi di kedai.

Polis merakamkan penghargaan kepada rakan kerja runcit seperti NTUC FairPrice, Sheng Siong, Watsons, Sephora, Popular, dan Mustafa Centre, yang telah mendaftarkan kesemua cawangan mereka dalam Program Kesedaran Pencurian Barang Kedai untuk Peruncit (Star).

Di bawah program ini, peruncit diberikan panduan untuk menganalisis faktor risiko dan mengenal pasti langkah pencegahan jenayah yang berkesan, termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan keupayaan pengesanan pencuri.

Pihak polis menggalakkan lebih ramai peruncit untuk menyertai program ini agar lebih banyak kejadian pencurian dapat dicegah.

Selain pencurian di kedai, laporan tersebut turut menarik perhatian dua lagi jenayah utama, iaitu kes mencabul kehormatan dan mengintai atau voyeurisme.

Kes mengintai meningkat kepada 519 kes pada 2024, bertambah sebanyak 43 kes berbanding 2023.

Lokasi utama kes mengintai sering berlaku termasuk kawasan perumahan, pusat beli-belah dan rangkaian pengangkutan awam.

Kebanyakan kes di kawasan kediaman dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa, seperti teman lelaki, bekas teman lelaki, anggota isi rumah, atau penyewa serumah.

Sementara itu, kes yang berlaku di pusat beli-belah dan pengangkutan awam biasanya melibatkan pelaku yang tidak dikenali mangsa.

Bagi mencegah pengintaian di rangkaian pengangkutan awam, SPF telah mempamerkan mesej supaya orang ramai berwaspada di stesen MRT terpilih, serta penyiaran mesej antivoyeurisme di semua stesen MRT pada waktu sibuk.

Selain itu, satu kategori anugerah baru Safe Toilet akan diperkenalkan dalam acara Anugerah Let’s Observe Ourselves (LOO) 2025

Anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf usaha meningkatkan reka bentuk keselamatan di tandas awam, termasuk pemasangan CCTV secara strategik dan sistem pencahayaan yang lebih baik.

Maklumat lanjut mengenai anugerah ini akan diumumkan pada tahun ini.

Sementara itu, jumlah kes mencabul kehormatan menunjukkan penurunan sebanyak 6.6 peratus (101 kes), daripada 1,528 kes pada 2023 kepada 1,427 kes pada 2024.

Kes ini kini menyumbang 7.1 peratus daripada keseluruhan kes jenayah fizikal.

Meskipun begitu, SAC Tan mengingatkan bahawa setiap individu dan syarikat memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan.

“Walaupun persekitaran kita selamat, penting untuk kita tidak leka.

“Hanya melalui usaha melibatkan seluruh masyarakat, jenayah fizikal dapat terus dikekang, dan Singapura boleh terus menjadi salah satu tempat paling selamat di dunia,” ujar beliau.

“Walaupun persekitaran kita selamat, penting untuk kita tidak leka. Hanya melalui usaha melibatkan seluruh masyarakat, jenayah fizikal dapat terus dikekang, dan Singapura boleh terus menjadi salah satu tempat paling selamat di dunia.” 
Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Gregory Tan, Pengarah Jabatan Operasi Pasukan Polis Singapura (SPF).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg