Seorang lelaki warga Singapura berumur 58 tahun dijatuhi hukuman penjara 28 tahun sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Disember 2024 bagi kesalahan mengedar dadah dan pengubahan wang haram.
Dalam satu kenyataan pada 24 Januari, Biro Narkotik Pusat (CNB) menyatakan hukuman itu termasuk penjara 38 bulan bagi salah satu daripada tuduhan pengubahan wang haram.
Tuduhan itu melibatkan perbuatan mengalihkan faedah hasil urusan salah guna dadah daripada diadili.
Ia adalah hukuman tertinggi bagi kesalahan pengubahan wang haram melibatkan faedah daripada pengedaran dadah setakat ini.
CNB menyatakan lelaki itu dikenakan 10 pertuduhan mengedar dadah di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), satu pertuduhan memiliki pasport palsu di bawah Akta Pasport, dan 12 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah).
Daripada jumlah itu, satu pertuduhan mengedar dadah dan empat pertuduhan pengubahan wang haram telah disabit manakala baki 18 pertuduhan telah diambil kira bagi tujuan menjatuhkan hukuman.
Lelaki itu telah memfailkan notis rayuan terhadap hukumannya.
CNB menyatakan bahawa pada hujung 2020, siasatannya terhadap dua lagi tertuduh mendedahkan lelaki itu membekalkan dadah ke Singapura dan menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Malaysia sejak 2018.
Beberapa operasi yang ada kaitan dengan lelaki itu dijalankan antara 2018 dan 2023.
Merujuk kepada operasi tersebut, lelaki itu didakwa setelah didapati mempunyai kira-kira 533 gram dadah Ice dan 20 pil Ecstasy.
Dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia, lelaki itu ditangkap di Malaysia dan dihantar pulang ke Singapura pada 16 April 2023.
Bekerja rapat dengan Pejabat Laporan Urus Niaga Mencurigakan (STRO) Pasukan Polis Singapura (SPF), dan anggota Perkongsian Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Mencegah Pembiayaan Industri Keganasan (ACIP), CNB dapat mengenal pasti rangkaian pengubahan wang haram sindiket dadah rentas sempadan melibatkan lelaki itu.
ACIP dipengerusikan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) SPF dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dengan Kumpulan Pandu terdiri daripada Persatuan Bank di Singapura dan sembilan bank di sini.
Siasatan mendapati lelaki itu bersubahat dengan rakan subahatnya untuk mengedar dadah terkawal ke Singapura semasa berada di Malaysia, dan mengubah hasil daripada dadah sebanyak $1,272,529.93 bagi tempoh antara Ogos 2020 dan Disember 2021, tambah CNB.
Di bawah Seksyen 46 CDSA, adalah menjadi satu kesalahan bagi sembarang individu memperoleh, memiliki, menggunakan, menyembunyikan, atau memindahkan faedah pengedaran dadah.
Hukuman maksimum ialah penjara hingga 10 tahun, denda hingga $500,000 atau kedua-dua hukuman.
Menurut CNB, kes terhadap dua rakan subahat lelaki itu masih dibicarakan di mahkamah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg