Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Kes denggi terus meningkat di S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kes denggi terus meningkat di S’pura

Apr 11, 2024 | 06:55 PM



Kes denggi terus meningkat di sini, dengan jumlah jangkitan baru mencecah 416 kes untuk minggu dari 31 Mac hingga 6 April.

Ini adalah tambahan 67 kes berbanding minggu sebelumnya.

Lebih 5,500 orang sudah pun dijangkiti denggi sepanjang tempoh 14 minggu pertama 2024, menurut data Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Sehingga 25 Mac, tujuh orang, kebanyakannya warga emas, meninggal dunia akibat denggi.

Pada 2023, jumlah kes denggi mencecah 9,949 kes. Terdapat enam kematian pada 2023.

Pada masa ini, terdapat 90 kelompok denggi aktif, dengan 20 daripadanya mempunyai 10 atau lebih kes, lapor The Straits Times (ST).


Beberapa kelompok yang mencatat kadar penularan denggi yang cepat termasuk kelompok 118 kes denggi di Ang Mo Kio Avenue 3 dan Avenue 4, kelompok 83 kes di Marsiling Road dan Marsiling Rise, serta kelompok 53 kes di Gangsa Road.

Kes denggi di Singapura kini melonjak sebelum musim kemuncak denggi tradisional dari Mei hingga Oktober.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, memberi amaran mengenai peningkatan kes denggi di sini semasa beliau melancarkan Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan 2024 pada 31 Mac.

Menurut NEA, sejak awal 2024, jumlah mingguan kes denggi yang dilaporkan kekal tinggi, iaitu melebihi 300 kes.

Ini, ditambah pula dengan populasi tinggi nyamuk Aedes aegypti, serta imuniti rendah dalam kalangan penduduk terhadap keempat-empat serotaip virus denggi di sini, mungkin menyebabkan kes denggi melonjak dalam beberapa bulan akan datang, jika tindakan yang diambil tidak mencukupi, tambah NEA.


Pakar penyakit berjangkit di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Hsu Li Yang, berkata:

“Kita pastinya melihat bilangan kes yang lebih tinggi dalam tempoh ini berbanding beberapa tahun lalu, kecuali pada 2020.”

Pada 2020, kes denggi melonjak kepada jumlah tertinggi lebih 35,000 jangkitan, dengan jumlah kematian tertinggi akibat denggi, iaitu 32 orang.

Peningkatan kes pada 2024 mungkin disebabkan oleh gabungan beberapa faktor berbeza, dengan cuaca panas mungkin antara penyebabnya, kata Profesor Hsu.

NEA turut melaporkan peningkatan dalam tempat pembiakan nyamuk yang dikesan di dalam dan luar premis kediaman.

Jangkitan denggi biasanya tidak serius dan kebanyakan pesakit tidak bergejala.

Namun dalam kes yang jarang berlaku, pesakit boleh mengalami penyakit teruk dan malah, maut akibat denggi.

Warga emas serta individu yang menghidap penyakit lain yang sedia ada, lebih berisiko menghidap penyakit teruk akibat jangkitan denggi, kata jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH).

Individu yang menghidap denggi buat kali kedua juga berisiko alami penyakit lebih teruk.

Ini kerana mereka yang mengalami jangkitan denggi yang berulang lebih kerap mengalami denggi lebih teruk.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >