Lebih 13,600 kes denggi dilaporkan di Singapura pada 2024, satu peningkatan lebih 36 peratus berbanding 9,949 kes yang dicatatkan pada 2023.
Demikian menurut perangkaan terkini di laman web Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Meski terdapat peningkatan dalam jumlah kes denggi, NEA berkata usaha menerusi Projek Wolbachia, disokong dengan “kesedaran masyarakat yang kukuh dan berterusan” terhadap pembiakan, kemungkinan telah membantu mencegah kelompok denggi besar.
Lonjakan kes denggi pada pertengahan tahun juga “sebilangan besar berjaya dikawal”.
“Ini berlaku walaupun terdapat kes denggi yang tinggi, imuniti penduduk yang rendah, dan jumlah nyamuk yang lebih besar di beberapa kawasan,” kata NEA.
Projek Wolbachia yang dimulakan pada 2016 dinamakan sempena bakteria Wolbachia, yang diperkenalkan kepada nyamuk jantan di makmal.
Apabila nyamuk betina di persekitaran mengawan dengan nyamuk jantan itu, telur yang terhasil tidak akan menetas.
Dengan itu, pelepasan nyamuk jantan di kawasan berisiko tinggi denggi dapat mengurangkan jumlah nyamuk.
Terdapat 110 kes denggi yang dilaporkan antara 29 Disember 2024 dengan 4 Januari 2025 – 39 kes lebih banyak berbanding minggu sebelumnya.
Setakat 6 Januari, terdapat 14 kelompok denggi aktif – tiga daripadanya dikelaskan sebagai kawasan berisiko tinggi yang mencatat 10 kes atau lebih.
Kawasan tersebut berada di Bedok, Sixth Avenue, dan Ang Mo Kio, lapor The Straits Times (ST).
Menjelaskan tentang serotip, atau jenis virus denggi di Singapura, NEA berkata:
“Antara empat serotip virus denggi yang merebak di Singapura, serotip virus denggi 2 (DenV-2) telah menjadi dominan sejak September 2023, dengan DenV-1 dan DenV-3 mendominasi secara berkala pada 2023.
“Imuniti penduduk kita terhadap keempat-empat serotip virus denggi itu masih rendah.
“Kehadiran berterusan semua faktor risiko denggi ini mungkin akan menyebabkan lonjakan kes denggi, sekiranya tindakan yang mencukupi tidak diambil.”
Kemungkinan punca yang paling besar bagi lonjakan kes denggi pada 2024 adalah perubahan serotip virus denggi yang dominan, kata mantan Presiden Persatuan Antarabangsa untuk Penyakit Berjangkit (ISID), Profesor Paul Tambyah.
“Hampir setiap kali berlaku pertukaran serotip, sebahagian besar penduduk tidak mempunyai imuniti terhadap strain yang sedang merebak, dan justeru (sebabkan) lebih banyak jangkitan bergejala,” kata Profesor Tambyah kepada ST.
“(Tahun) 2024 juga merupakan salah satu tahun yang paling panas dalam rekod, dan keadaan panas serta basah berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan kegiatan gigitan nyamuk, walaupun sukar untuk dibuktikan.”
NEA menggesa orang ramai supaya membuang air bertakung dari persekitaran mereka dan mengekalkan kebersihan yang baik bagi mencegah pembentukan tempat pembiakan nyamuk.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg