‘Projek Wolbachia’ – satu usaha untuk mengawal denggi melalui pelepasan nyamuk yang diternak di makmal – akan diperluaskan untuk merangkumi 50 peratus daripada semua isi rumah di Singapura menjelang 2026.
Nyamuk ini, yang dilepaskan untuk mengawal populasi nyamuk Aedes aegypti yang menyebarkan virus denggi, akan meliputi 800,000 isi rumah menjelang 2026, meliputi sebahagian besar kawasan yang berisiko tinggi terhadap wabak denggi.
Setakat ini, projek itu merangkumi kira-kira 520,000, atau hampir 35 peratus, daripada semua isi rumah di sini, lapor The Straits Times (ST).
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, mengumumkan projek itu pada 25 November semasa majlis perasmian Bengkel Denggi Antarabangsa Singapura Kelapan di Hotel Jen Tanglin.
Bengkel itu, yang berlangsung sehingga 29 November, dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Projek yang dimulakan pada 2016 itu dinamakan sempena bakteria Wolbachia, yang diperkenalkan kepada nyamuk jantan di makmal.
Apabila nyamuk betina di persekitaran mengawan dengan nyamuk jantan ini, telur yang terhasil tidak menetas.
Oleh itu, pelepasan nyamuk jantan di kawasan berisiko tinggi denggi dapat mengurangkan populasi nyamuk.
Kajian terkini oleh NEA menunjukkan bahawa penduduk di kawasan yang telah dilepaskan nyamuk Wolbachia mempunyai kemungkinan 75 peratus lebih rendah untuk dijangkiti denggi, kata Cik Fu.
Ini kerana populasi nyamuk Aedes aegypti di kawasan tersebut telah berkurangan sebanyak 80 hingga 90 peratus.
Penduduk di kawasan berdekatan juga dapat manfaatnya.
Walaupun nyamuk makmal tidak dilepaskan di kawasan tersebut, penduduk di kawasan berdekatan mempunyai kemungkinan 45 peratus lebih rendah untuk dijangkiti denggi, tambahnya.
Cik Fu juga menyatakan bahawa pada 2023 dan 2024, lonjakan kes denggi yang dijangka pada pertengahan tahun telah “dikawal dengan baik”.
Ini dapat dicapai walaupun terdapat bilangan kes denggi yang tinggi, imuniti populasi yang rendah dan jumlah nyamuk yang banyak di beberapa kawasan yang tidak diliputi oleh Projek Wolbachia.
Data daripada NEA menunjukkan bahawa setakat 16 November, sebanyak 13,057 kes denggi telah dicatatkan pada 2024, dengan 15 kematian akibat jangkitan tempatan.
Pada 2023, sebanyak 9,949 kes denggi telah dilaporkan, dengan enam kematian akibat penyakit tersebut.
Pada 2025, NEA akan mengkaji kemungkinan penggunaan teknologi Wolbachia untuk mengurangkan jangkitan dalam kelompok denggi yang besar.
Nyamuk Wolbachia-Aedes akan dilepaskan di kawasan terpilih untuk menyokong kaedah lain dalam mengawal pertumbuhan kelompok denggi.
“Memandangkan pelepasan Wolbachia biasanya mengambil masa sekitar tiga bulan untuk mencapai pengurangan ketara dalam populasi nyamuk, pelepasan Wolbachia mungkin tidak menunjukkan kesan serta-merta terhadap penularan denggi, tetapi ia mempunyai potensi untuk mengehadkan pertumbuhan kelompok denggi yang berpanjangan,” kata NEA.
Untuk memenuhi keperluan peluasan ‘Projek Wolbachia’, dua kemudahan sedia ada – yang diuruskan oleh NEA dan Verily Life Sciences, sebuah unit daripada syarikat induk Google, Alphabet – akan memperluaskan pengeluaran nyamuk Wolbachia-Aedes.
Kemudahan ketiga juga akan dibangunkan untuk menyokong pengeluaran nyamuk tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg