Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes dera pekerja jagaan kesihatan naik hampir seganda dalam 2 tahun
Rahayu: Kenaikan cermin keyakinan bersuara, ambil tindakan dalam kalangan kakitangan
Kes dera pekerja jagaan kesihatan naik hampir seganda dalam 2 tahun
Kes penderaan dan gangguan yang dilaporkan dalam sektor kesihatan awam telah meningkat hampir seganda dalam tempoh dua tahun, dengan kes serius yang dilaporkan kepada polis merangkumi 13 peratus daripadanya.
Ini mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap tingkah laku yang tidak boleh diterima, serta keyakinan lebih tinggi dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan agar mereka bersuara dan mengambil tindakan.
Demikian kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, yang juga penasihat Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pencegahan Penderaan dan Gangguan Terhadap Pekerja Kesihatan, pada 30 September.
Pada 2025, bilangan laporan sedemikian di institusi kesihatan awam meningkat kepada 4,200 berbanding 2,200 pada 2023.
Sebanyak 550 kes (kira-kira 13 peratus) telah dilaporkan kepada polis pada 2025, berbanding 350 kes (kira-kira 16 peratus) pada 2023, kata Cik Rahayu, ketika membentangkan laporan akhir kumpulan kerja itu pada 30 September.
“Setiap orang memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan keamanan... Tugas penjagaan kesihatan kadangkala melibatkan perbualan yang sukar, terutamanya apabila pesakit atau penjaga sedang berasa bimbang atau kecewa.
“Sungguhpun begitu, penderaan dan gangguan tidak boleh diterima sama sekali sebagai sebahagian daripada perkara biasa dalam pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada acara Minggu Keselamatan dan Keamanan tahunan anjuran Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) dan Hospital Masyarakat Yishun.
Laporan itu menandakan pengakhiran rasmi tempoh perkhidmatan kumpulan kerja berkenaan.
Ia ditubuhkan pada 2022 untuk menerajui usaha menyeluruh peringkat nasional bagi mencegah penderaan dan gangguan, pada ketika lebih dua pertiga pekerja penjagaan kesihatan menyatakan mereka pernah menyaksikan atau mengalami sendiri kejadian sedemikian pada tahun sebelumnya (2021).
Antara sumbangan kumpulan kerja itu termasuk menetapkan definisi yang diselaraskan bagi penderaan dan gangguan, serta satu set piawaian bagi melindungi pekerja penjagaan kesihatan.
Selagi pekerja berasa diancam, cemas atau tertekan, atau jika kata-kata, tindakan mahupun tingkah laku tersebut menjejaskan tugas mereka, perbuatan itu dianggap sebagai satu penderaan dan gangguan.
Ia turut menggariskan klasifikasi tahap keseriusan bagi pelbagai insiden serta tindakan susulan yang disyorkan.
Di samping itu, pesakit yang bertindak kasar juga boleh diminta meninggalkan hospital sekiranya disahkan sihat dari segi perubatan untuk dibenarkan keluar.
Pihak institusi pula telah menjalankan pelbagai usaha untuk menangani masalah sedemikian, seperti mewujudkan peranan khusus bagi perlindungan pekerja, termasuk melantik pegawai utama kesejahteraan.
Mengiktiraf pesakit dan penjaga mungkin merasa tertekan atau tidak berpuas hati atas pelbagai sebab, Ketua Eksekutif KTPH dan Hospital Masyarakat Yishun, Profesor Chua Hong Choon, menegaskan semula keperluan saling menghormati dalam komunikasi.
“Apabila anda bertindak secara kasar, ia sebenarnya menghalang kami daripada membantu anda... Ada cara yang jauh lebih baik untuk menanganinya, jadi bantulah kami untuk membantu anda, dan bantulah kami untuk mendengar suara anda,” kata Profesor Chua.
Rangka kerja tiga pihak itu mula dilaksanakan dalam sektor kesihatan awam dan seterusnya dalam sektor penjagaan masyarakat menerusi panduan pelaksanaan yang dilancarkan pada Mei 2025.