Sebagai pengawal selia kesihatan bersepadu Singapura, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) yang diperkasakan akan membangunkan sistem yang melindungi pesakit serta memberi kejelasan kepada industri dan golongan profesional kesihatan.

Ia juga membolehkan orang ramai mendapat akses yang tepat pada masanya kepada inovasi kesihatan yang bermanfaat.

Langkah itu akan memberi nilai kepada pelbagai pihak berkepentingan, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, di Parlimen.

Rang Undang-Undang (Pindaan) Penguasa Sains Kesihatan dan Perkara-Perkara Lain diluluskan pada 9 September, membuka jalan bagi penyatuan fungsi kawal selia kesihatan di bawah HSA.

“Dengan menggabungkan keupayaan dan kepakaran kawal selia ini, kita dapat bertindak dengan lebih terselaras sepanjang perjalanan penjagaan kesihatan,” katanya semasa perbahasan rang undang-undang itu.

Buat masa ini, sistem kawal selia kesihatan merangkumi tiga agensi berbeza, jelas Cik Rahayu.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengawal selia perkhidmatan kesihatan, maklumat kesihatan, penyelidikan bioperubatan manusia dan bioselamat. 

HSA pula mengawal selia produk kesihatan seperti ubat-ubatan dan peranti perubatan, manakala Sekretariat Lembaga Profesional Penjagaan Kesihatan menyokong lembaga dan majlis yang mengawasi peraturan bagi doktor, doktor gigi, jururawat, ahli farmasi serta profesional kesihatan bersekutu.

Menurut Cik Rahayu, langkah itu bukan sekadar penyusunan semula organisasi, tetapi peluang untuk membina sistem masa depan yang melindungi pesakit sambil memberi mereka akses tepat kepada inovasi kesihatan yang bermanfaat. 

Sebagai contoh, orang ramai boleh menjadikan HSA sebagai satu-satunya saluran rujukan bagi kebimbangan berkaitan ubat yang dibeli, peranti perubatan yang digunakan dalam penjagaan mereka, atau penyedia perkhidmatan kesihatan dan profesional yang merawat mereka.

Beliau berkata, ketika sektor kesihatan berkembang dengan pesat, terdapat model penjagaan baharu dan teknologi inovatif seperti kesihatan digital, genomik dan kecerdasan buatan (AI) yang mungkin merangkumi pelbagai bidang kawal selia.

AI mempunyai potensi besar untuk meningkatkan penjagaan pesakit, namun kawal selianya merentasi pelbagai bidang.

Fungsi kawal selia bersepadu di bawah HSA akan membolehkan agensi itu menilai tadbir urus AI secara menyeluruh, selain menyediakan satu titik perhubungan bagi pembangun AI, institusi kesihatan dan pengguna. 

Ia juga akan membantu menyediakan panduan kawal selia yang lebih jelas dan konsisten bagi penggunaan AI secara selamat dan bertanggungjawab, kata Cik Rahayu.

Dengan gambaran menyeluruh merentasi keseluruhan perjalanan penjagaan kesihatan, HSA juga akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengenal pasti risiko yang merentasi pelbagai bidang serta mengambil tindakan penguatkuasaan yang terselaras dan tegas apabila diperlukan.

Ini akan memberi manfaat kepada orang ramai dan pesakit dengan memastikan keselamatan mereka, tambah beliau.

HSA juga akan mengambil alih peranan MOH dalam menyiasat sesebuah klinik berhubung preskripsi tidak wajar bagi ubat terkawal tertentu, serta meneliti kelakuan profesional doktor berkenaan.