Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes kejar-mengejar SLE: Remaja dijangka mengaku bersalah

Sep 9, 2024 | 5:06 PM
Seorang pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dilihat terbaring di jalan raya selepas nahas pada 4 Jun 2024.
Seorang pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dilihat terbaring di jalan raya selepas nahas pada 4 Jun 2024. - Foto FACEBOOK SINGAPORE ROADS ACCIDENT.COM

Seorang remaja berusia 18 tahun yang terlibat dalam kejadian kejar-mengejar dengan motosikal di sepanjang Ekspreswe Seletar (SLE) dan mengorbankan seorang pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dijangka mengaku salah.

Remaja itu, yang direman sejak awal Jun selepas kemalangan tersebut, berkata dia akan menerima tawaran mengaku bersalah pihak pendakwa dalam sidang praperbicaraan pada pagi 9 September.

Langkah itu dibuat selepas dia mendapatkan khidmat Encik Foo Ho Chew daripada H C Law Practice.

Di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA), remaja itu tidak boleh dinamakan kerana dia berusia 17 tahun ketika dikenakan salah satu pertuduhan ke atasnya.

Dia ditetapkan untuk mengaku bersalah pada 22 Oktober di hadapan Timbalan Ketua Hakim Daerah Kessler Soh.

Remaja itu menghadapi 13 pertuduhan, termasuk memiliki dadah di sebuah flat Woodlands, mengambil dadah metamphetamine, memiliki pedang samurai dan menunggang motosikal tanpa lesen atau insurans.

Sebahagian besar dakwaan kesalahannya berlaku pada 4 Jun.

Pada masa itu, remaja tersebut dikehendaki polis kerana melarikan diri pada Oktober 2023 sebelum dihantar ke Pusat Pemulihan Masyarakat (CRC) untuk isu berkaitan dadah.

Pada hari kejadian kejar-mengejar itu, pegawai LTA, Encik Zdulfika Ahakasah, ternampak dia menunggang motosikal di sepanjang SLE dan mengarahkannya supaya berhenti. Dia, bagaimanapun, mengingkari arahan itu.

Semasa insiden itu, remaja tersebut didakwa memotong dua lorong dari bahu jalan berhampiran susur keluar Ekspreswe Tampines (TPE) dan melintasi garisan pembahagi lebuh raya.

Encik Zdulfika terlibat dalam nahas dengan dua buah lori dan sebuah van dalam kejadian kejar-mengejar itu dan dibawa ke hospital. Beliau disahkan meninggal dunia.

Kes remaja itu menjadi tular apabila ketika pertama kali didakwa dan tanpa diwakili peguam, dia dilapor berkata:

“Saya memperjudikan nyawa saya sebagaimana dia memperjudikan nyawanya. Jadi kematiannya... mungkin saya adalah salah satu faktor penyumbang kepada kematian, tetapi saya tidak boleh dipersalahkan.”

Di antara kesalahan yang dihadapi, hukuman paling berat adalah berkaitan dadah. Dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga $20,000 atau kededuanya kerana memiliki atau mengambil dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg