Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes korban tergendala: MUIS libatkan Case bantu pelanggan fail tuntutan wang tertunggak
Kes korban tergendala: MUIS libatkan Case bantu pelanggan fail tuntutan wang tertunggak
Butiran 32 pelanggan terjejas telah diserah kepada Case
Kes korban tergendala: MUIS libatkan Case bantu pelanggan fail tuntutan wang tertunggak
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mendapatkan kerjasama Persatuan Pengguna Singapura (Case) bagi membantu pelanggan yang terjejas ekoran gangguan ibadah korban menuntut bayaran balik yang masih tertunggak daripada syarikat The Meat Brothers (TMB).
Ini menyusuli kegenjotan pada operasi korban tempatan TMB semasa musim Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei, yang menyaksikan sekitar 400 sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban) dilaporkan terjejas.
Sebagai langkah pertama, MUIS telah menyerahkan butiran 32 pelanggan terjejas yang pernah menghubungi MUIS dan masjid-masjid untuk mendapatkan wang mereka semula, kepada Case.
Case akan membantu pengguna yang terjejas ini untuk memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Kecil (SCT).
Demikian menurut MUIS dan Case dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 9 Oktober.
“MUIS telah menjelaskan kepada TMB bahawa pihaknya tetap bertanggungjawab menunaikan komitmen untuk memulangkan wang kepada sohibul korban yang terjejas.
“Memandangkan kegendalaan masih berterusan, MUIS telah mendapatkan bantuan Case bagi membantu sohibul korban yang terjejas menuntut bayaran balik yang masih belum diterima,” kata kenyataan itu.
Sehingga 8 Oktober, lebih 300 sohibul korban masih menunggu wang mereka dipulangkan oleh TMB, tanpa sebarang kepastian garis masa diberikan oleh TMB untuk mengembalikan bayaran sepenuhnya, tambah kenyataan itu.
TMB sebelum ini telah memaklumkan bahawa ia berhasrat memulangkan semula wang sepenuhnya menjelang akhir Ogos.
Namun, apabila MUIS bertemu dengan TMB pada 31 Ogos untuk mendapatkan kemas kini, TMB memaklumkan kepada MUIS terdapat kegendalaan kerana pihak TMB masih menunggu pembayaran daripada pihak ketiga.
Dalam satu catatan Facebook pada 9 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata masyarakat perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.
“Saya maklum bahawa sebahagian daripada anda masih menunggu bayaran semula daripada TMB.
“Saya memahami betapa mengecewakannya keadaan ini, terutamanya selepas beberapa bulan.
“MUIS telah menyusuli isu bayaran semula yang tertunggak ini dengan TMB memandangkan TMB sebelum ini memaklumkan kepada pihak media bahawa mereka berharap dapat memberikan kemas kini menjelang akhir Ogos,” kata Encik Zaqy.
Dalam pada itu, beliau telah meminta MUIS untuk memperkukuh proses dan langkah perlindungan bagi musim korban 2027 agar dapat mengurangkan risiko kejadian serupa daripada berulang lagi.
Kenyataan yang sama menyatakan MUIS telah meneliti pengalaman pelaksanaan musim korban pada 2026 dan sedang memperkukuh langkah perlindungan bagi pengaturan ibadah korban tempatan pada 2027.
Langkah ini termasuk memperketat pengawasan terhadap tahap kesediaan pengendali, memperjelas keperluan kontrak dan operasi, serta menambah baik pengaturan bagi hal luar jangkaan demi memperkukuh kebertanggungjawapan dan memberikan jaminan yang lebih meyakinkan kepada sohibul korban.
Bagi sohibul korban lain yang turut terjejas oleh operasi korban tempatan TMB dan masih belum menerima bayaran semula mereka, boleh menyerahkan butiran serta maklumat di https://go.gov.sg/tmbrefund.
Case akan menilai kes mereka dan memberikan bantuan yang sewajarnya.