Seorang lelaki yang memandu keretanya ke dalam kolam renang Seletar Country Club dua kali dalam masa lapan minit dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu.
Lesen memandunya akan digantung selama 36 bulan.
Hukuman itu dijatuhkan dua hari selepas William Teng Guan How, 63 tahun, mengaku bersalah pada 7 April atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan melakukan perbuatan yang membahayakan nyawa manusia.
Pada 9 April, Hakim Daerah Koo Zhi Xuan berkata Teng jelas melampaui batas dan patut mendapat hukuman penjara.
“Dia berada dalam keadaan mabuk melebihi had undang-undang dan jelas tidak layak untuk memandu. Dia memandu ke kawasan di mana kenderaan tidak dibenarkan masuk dan menghabiskan lapan minit memandu dengan berbahaya,” kata hakim itu.
Beliau turut menegaskan Teng tidak cukup sedar untuk menyedari kerosakan yang telah ditimbulkan dari saat dia memandu sehingga akhirnya masuk ke dalam kolam renang, lapor The Straits Times (ST).
“Dia telah menyebabkan kerosakan harta benda yang besar. Tahap kerosakan harta benda yang berlaku adalah petunjuk kepada kerosakan yang boleh menyebabkan kematian manusia,” tambah hakim itu.
Teng mengaku dia telah meminum wiski di majlis makan malam korporat yang diadakan di Seletar Country Club pada 27 Ogos 2024.
Dia tersesat dalam kawasan kelab selepas membuat selekoh yang salah dan memandu ke taman permainan sebelum masuk ke dalam kolam renang.
Rakaman yang ditunjukkan di mahkamah menunjukkan bagaimana Teng memandu keretanya ke dalam kolam renang tersebut, kemudian mengundur keluar, sebelum akhirnya memandu keretanya ke dalam kolam itu sekali lagi.
Dalam proses itu, dia merempuh tumbuhan, menyebabkan paip air tercabut, menyebabkan sisi bangsal besi remuk, merempuh lampu taman dan merosakkan jubin, penutup saliran serta pagar di kolam renang, menyebabkan kerosakan bernilai sekitar $18,000.
Selepas dia ditangkap, dia telah diuji dan didapati mempunyai 63 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas – hampir dua kali ganda daripada had yang dibenarkan, iaitu 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas.
Mahkamah mendapat tahu Teng telah melakukan pelbagai kesalahan trafik antara 2016 dengan 2017, termasuk memandu laju, melanggar pemisah jalan dan gagal berhenti di lampu merah.
Bilangan orang yang maut dan cedera dalam kemalangan jalan raya di Singapura mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun pada 2024.
Perangkaan tahunan oleh Polis Trafik menunjukkan 142 orang maut dalam kemalangan pada 2024, meningkat daripada 136 orang pada tahun sebelumnya (2023).
Bilangan orang yang cedera dalam kemalangan juga meningkat, daripada 8,941 orang pada 2023 kepada 9,302 orang pada 2024.
Lebih ramai orang ditangkap kerana memandu sambil mabuk, dengan 1,778 penangkapan sedemikian pada 2024, meningkat 6.9 peratus berbanding 2023.
Kemalangan yang berkaitan dengan memandu sambil mabuk menurun daripada 180 kes kepada 166 kes dalam tempoh yang sama.
Namun bilangan kemalangan maut yang berkaitan dengan memandu sambil mabuk meningkat daripada 11 kes pada 2023 kepada 12 kes pada 2024.
Bagi kesalahan memandu sambil mabuk, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga setahun dan didenda sehingga $10,000.
Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga $20,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg