Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks selamatkan 12 kucing terabai dari flat di Bedok Reservoir

Dec 20, 2024 | 4:32 PM
Sebanyak 12 kucing yang masih hidup dan tiga bangkai kucing ditemui di dalam salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road. Keadaan di dalam unit rumah itu sangat teruk dengan sampah dan najis di merata tempat.
Sebanyak 12 kucing yang masih hidup dan tiga bangkai kucing ditemui di dalam salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road. Keadaan di dalam unit rumah itu sangat teruk dengan sampah dan najis di merata tempat. - Foto REYN TENG

Beberapa ekor kucing yang didakwa diabaikan telah diselamatkan dari flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Bedok Reservoir oleh Lembaga Taman Negara (NParks), yang turut meneliti perkara itu. 

Ini berlaku selepas penduduk di kawasan itu menyedari terdapat bangkai kucing serta kucing yang cedera di Blok 147 Bedok Reservoir Road, dan telah menghubungi pihak berkuasa setelah mengenal pasti unit yang disyaki lapor, The Straits Times (ST).

Cik Reyn Teng, dalam hantarannya di kumpulan Facebook Sayang Our Singapore’s Community Cats pada 19 Disember, berkata seorang penduduk dari blok itu telah menemui seekor anak kucing mati pada pagi 16 Disember, dan seekor lagi anak kucing yang cedera, pada petang hari yang sama.

Penduduk percaya bahawa kucing itu mungkin terjatuh dari salah satu unit di blok itu, tambah Cik Teng.

Seorang lagi penduduk kemudian pergi ke setiap tingkat di blok tersebut untuk mengesan unit itu, tambahnya.

Cik Teng berkata beliau menghubungi NParks dan Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) selepas dimaklumkan bahawa seekor lagi kucing ditemui mati pada pagi 18 Disember, berhampiran lokasi dua kucing yang ditemui sebelum itu.

Beliau menambah bahawa seekor lagi kucing jatuh tepat di hadapannya ketika beliau sedang menunggu pihak berkuasa mengutip bangkai itu dan kucing itu kini di bawah jagaan SPCA.

Menurut hantaran Cik Reyn Teng di kumpulan Facebook Sayang Our Singapore’s Community Cats pada 19 Disember, kucing yang jatuh di hadapannya, dari salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road, mempunyai pendarahan di mulut.
Menurut hantaran Cik Reyn Teng di kumpulan Facebook Sayang Our Singapore’s Community Cats pada 19 Disember, kucing yang jatuh di hadapannya, dari salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road, mempunyai pendarahan di mulut. - Foto REYN TENG
Kelihatan kucing di birai tingkap salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road.
Kelihatan kucing di birai tingkap salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road. - Foto REYN TENG
Penduduk meletakkan tempat pembuangan sampah, tilam dan selimut di bawah Blok 147 Bedok Reservoir Road, sekiranya kucing-kucing itu terjatuh.
Penduduk meletakkan tempat pembuangan sampah, tilam dan selimut di bawah Blok 147 Bedok Reservoir Road, sekiranya kucing-kucing itu terjatuh. - Foto REYN TENG

Menurut Cik Teng, disebabkan pemilik flat berkenaan tidak dapat dihubungi apabila pihak berkuasa tiba, tukang kunci dipanggil untuk membuka pintu unit berkenaan.

“Apabila pintu dibuka, kami terkejut melihat terdapat banyak kucing, sampah dan najis (tahi dan air kencing) di merata tempat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan SPCA dan NParks kerana melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan kucing dari rumah itu.

“Keadaan di dalam rumah sangat teruk. Baunya sangat memualkan. Mereka tidak dapat membuka pintu atau tingkap, jadi mereka terpaksa menahan bau dan menangkap kucing itu dalam kegelapan,” kata Cik Teng.

Menurut Cik Teng lagi, sebanyak 12 ekor kucing yang masih hidup dan tiga bangkai kucing ditemui di dalam flat itu.

Sebanyak 12 kucing yang masih hidup serta tiga bangkai kucing ditemui dan dikeluarkan dari salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road.
Sebanyak 12 kucing yang masih hidup serta tiga bangkai kucing ditemui dan dikeluarkan dari salah satu unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road. - Foto REYN TENG

Menjawab pertanyaan media, NParks berkata ia telah menyelamatkan kucing-kucing itu dari sebuah unit di Blok 147 Bedok Reservoir Road selepas dimaklumkan bahawa kucing peliharaan di situ didakwa diabaikan.

NParks sedang meneliti perkara itu.

NParks menasihati orang ramai agar melaporkan kes yang disyaki berlakunya kekejaman atau kecederaan haiwan di laman web, https://www.nparks.gov.sg/feedback-and-enquiry atau menelefon Pusat Tindak Balas Haiwan di 1800-476-1600.

“Seperti semua penyiasatan, bentuk bukti adalah penting untuk proses itu.

“Rakaman video dan/atau foto yang diberikan akan membantu penyiasatan,” kata NParks.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg