Tindakan telah diambil oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) terhadap beberapa pihak susulan siasatan berhubung insiden tempat kerja di loji air, agensi air negara, PUB di Choa Chu Kang pada 23 Mei 2024, yang menyebabkan dua orang maut dek terhidu gas hidrogen sulfida yang toksik.

Pada 16 Julai, pertuduhan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, termasuk Stargroup Est (Stargroup) dan pengurus tapak yang bertanggungjawab memberi permit bagi kemasukan ke ruang tertutup.

Stargroup, sebuah syarikat pembersihan, dihadapkan satu pertuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) kerana gagal melaksanakan langkah munasabah bagi meminimumkan risiko.

Lim Beng Hock, 49 tahun, pengurus yang bertanggungjawab di tapak kerja di Nanyang Drive itu menghadapi 12 pertuduhan.

Hal itu kerana dia gagal melaksanakan usaha yang wajar sewaktu melaksanakan tugasnya dalam mengeluarkan permit kemasukan ke ruang tertutup.

Kes mereka akan dibicarakan lagi di mahkamah pada 13 Ogos.

Stargroup merupakan syarikat yang ditugaskan untuk menjalankan operasi pembersihan tangki di loji air PUB di Choa Chu Kang.

Syarikat itu dilantik PUB untuk melaksanakan kerja pembersihan unit rawatan di loji air tersebut dari Disember 2021 hingga November 2024.

Sewaktu kejadian, terdapat empat pekerja Stargroup dan seorang subkontraktor yang terlibat dalam proses kerja pembersihan tangki air di situ.

Tiga daripada mereka rebah setelah memasuki laluan tertutup di bawah tangki untuk menutup injap tangan yang telah dibuka, bagi menapis air daripada tangki tersebut.

Mereka dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), di mana dua pekerja yang rebah itu meninggal dunia pada 24 dan 28 Mei 2024.

Seorang lagi pekerja telah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.

Berdasarkan siasatan MOM, ketiga-tiga pekerja tersebut terdedah kepada hidrogen sulfida, iaitu sejenis gas yang dihasilkan daripada minyak kotor, yang merupakan sisa daripada proses rawatan air.

Gas tersebut boleh membawa maut walaupun berada pada kepekatan yang rendah.

Siasatan MOM mendapati pada waktu kejadian, penderia yang dipasang di lokasi berkenaan merekodkan paras hidrogen sulfida yang melebihi had selamat, sekali gus mencetuskan penggera.

Dalam satu kenyataan media oleh PUB pada 16 Julai, mereka berkata:

“PUB memandang serius terhadap kegagalan Stargroup dalam memastikan keselamatan.

“Selepas insiden tersebut, PUB menyenaraihitamkan Stargroup selama 18 bulan bermula Ogos 2024.

“PUB juga telah memperkukuh proses pengurusan kontraktornya dengan menjalankan semakan awal bagi memastikan langkah yang dilaksanakan di lapangan selaras dengan penilaian risiko, prosedur kerja selamat dan pelan tindak balas kecemasan oleh kontraktor.”

MOM juga mengenakan kompaun terhadap PUB di bawah WSHA, kerana membenarkan kakitangan mereka memasuki ruang tertutup untuk tempoh yang singkat tanpa pengudaraan yang mencukupi, dalam beberapa kejadian sebelum ini.

Sejak insiden tersebut, PUB telah memasang sistem pengudaraan tetap bagi ruang terkurung berkenaan.

Agensi itu juga telah mewajibkan semua ruang tertutup di lojinya mempunyai pengudaraan yang mencukupi, termasuk bagi kerja yang dijalankan dalam tempoh yang singkat.

Berhubung insiden tersebut, seorang kakitangan PUB juga telah diberikan amaran keras di bawah WSHA.

PUB sedang meneliti amaran keras itu dan akan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian.