Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM) sedang merayu hukuman yang dikenakan ke atas PSA Singapore berhubung kematian seorang pekerjanya semasa kerja penyelenggaraan di Terminal Keppel pada 2017.

PSA telah didenda $225,000 selepas disabitkan pada 16 Mac di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) kerana gagal memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya.

MOM memfailkan rayuan pada 15 Jun. Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MOM, Encik Delvinder Singh, mencadangkan denda antara $300,000 dengan $350,000.

Dalam hujah bertulisnya, Encik Singh berkata kematian yang tragis dan boleh dielakkan itu berlaku kerana PSA gagal melaksanakan tanggungjawab asas bagi melindungi keselamatan pekerja di tempat kerja.

Pada masa yang sama, PSA turut memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Kejadian itu berlaku pada 20 September 2017.

Pada kira-kira 10 pagi, pakar teknikal PSA, Encik Lee Swee Loong, 29 tahun, meminta rakan sekerjanya, Encik Mohammad Iqbal Buang, menggerakkan kren pada pelbagai kelajuan sementara beliau memeriksa kotak gear dan sistem pemikul bagi mengenal pasti punca bunyi luar biasa.

Encik Iqbal kemudian melihat satu objek hitam jatuh dari platform troli di atas kabin pengendali.

Menyedari sesuatu yang tidak kena, beliau segera menghentikan dan mematikan kren tersebut.

Selepas gagal menghubungi Encik Lee melalui ‘walkie-talkie’, Encik Iqbal memanjat ke platform troli dan mendapati rakannya itu tersepit di antara dram tali dan platform berhampiran kotak gear.

Encik Lee disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bedah siasat mendapati beliau mengalami pelbagai kecederaan akibat dihimpit mesin berputar.

Dokumen mahkamah menyatakan PSA gagal melaksanakan langkah kawalan yang berkesan dan prosedur kerja selamat bagi mengelakkan pekerja terdedah kepada bahagian kren yang berputar semasa penyelenggaraan.

Di mahkamah, pendakwa raya MOM berkata risiko pekerja PSA cedera akibat terdedah kepada bahagian berputar semasa kerja penyelenggaraan adalah sesuatu yang “munasabah untuk dijangka”.

Encik Singh berkata risiko tersebut boleh dijangka dan PSA mengetahui pekerja seperti Encik Lee kerap menggunakan platform sempit yang berminyak untuk memeriksa kotak gear.

Namun, syarikat itu tidak menyediakan tatacara khusus atau langkah perlindungan mencukupi.

Beliau menambah PSA bergantung pada prosedur umum bagi tiga model kren berbeza, sehingga memaksa pekerja menggunakan kaedah kerja berbahaya.

Menurut Encik Singh, Naib Presiden PSA, Encik Phinehas Tan, mengesahkan Encik Lee mempunyai rekod keselamatan yang baik sepanjang perkhidmatannya.

“Seseorang yang begitu mementingkan keselamatan akhirnya meninggal dunia akibat kegagalan keselamatan majikannya sendiri. Ini menjadikan kes ini amat serius dan tahap kesalahan PSA lebih ketara,” kata pendakwa raya itu.

PSA disabitkan kesalahan selepas perbicaraan selama 33 hari dan dijatuhi hukuman pada 4 Jun.

Dalam kenyataannya, PSA berkata ia telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, menegaskan keselamatan pekerja merupakan keutamaannya, serta menyampaikan takziah kepada keluarga mendiang Encik Lee.