Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura sumbang $2.5j sokong usaha tangani wabak Ebola di Congo, Uganda
S’pura sumbang $2.5j sokong usaha tangani wabak Ebola di Congo, Uganda
Peralatan makmal, diagnostik antara yang disedia sebagai respons kepada penularan penyakit
S’pura sumbang $2.5j sokong usaha tangani wabak Ebola di Congo, Uganda
Singapura akan menyumbang sebanyak AS$2 juta ($2.59 juta) bagi menyokong usaha menangani penularan wabak Penyakit Virus Ebola Bundibugyo (BVD) yang sedang melanda Republik Demokratik (DR) Congo dan Uganda.
Sumbangan itu akan menyokong usaha ujian makmal dan pengesanan kontak, pencegahan dan pengawalan penyakit, serta pengurusan kes di tapak kejadian, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan bersama pada 14 Julai.
Sumbangan tersebut akan disalurkan menerusi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebagai sokongan untuk Pelan Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Benua yang dilancarkan oleh kedua-dua badan itu pada 5 Jun.
Wabak penyakit BVD disahkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Membimbangkan Dunia oleh WHO pada 17 Mei, dan kemudian sebagai Kecemasan Awam Yang Membimbangkan Keselamatan Benua Afrika oleh CDC pada 18 Mei.
Menurut WHO, wabak BVD yang melanda Congo semakin menular, dengan peningkatan jumlah kes yang dilaporkan.
Menurut laman web CDC, jumlah kes Ebola di Congo telah meningkat kepada 1,926 kes, termasuk 702 orang yang kehilangan nyawa setakat 11 Julai.
Sementara itu, terdapat 20 kes Ebola dengan dua orang kehilangan nyawa di Uganda setakat 12 Julai.
Sumbangan Singapura akan disalurkan kepada tempahan beberapa bekalan dan peralatan penting bagi menangani wabak BVD. Ia termasuk:
- Peralatan makmal dan diagnostik bagi memperhebatkan usaha ujian dan pengesanan kontak.
- Pakaian Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE), peralatan pencegahan dan kawalan jangkitan penyakit untuk pekerja kesihatan di barisan hadapan.
- Ubat penting, produk cecair, darah dan oksigen, serta peralatan penjagaan kritikal untuk unit rawatan dan hospital.
Dalam kenyataan itu, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menegaskan bahawa keselamatan kesihatan global merupakan tanggungjawab bersama, dan Singapura sentiasa percaya bahawa ia perlu menjadi rakan kongsi yang boleh diharapkan oleh negara yang memerlukan.
“Penularan wabak BVD di Congo dan Uganda adalah situasi yang berkembang pesat dan menuntut tindak balas antarabangsa yang pantas dan diselaras.
“Kami telah mengutamakan sumbangan untuk memastikan bekalan yang tepat dapat dihantar ke lokasi yang memerlukannya dengan segera, selain menyokong pekerja penjagaan kesihatan di barisan hadapan,” ujar Encik Ong.
MOH dan CDA menambah bahawa sumbangan terkini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Singapura terhadap kesihatan awam yang lebih luas. Ia juga memperkukuhkan hubungan bersama CDC Afrika dan WHO.
Semasa Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-79 pada Mei 2026, Encik Ong mengumumkan bahawa Singapura akan menyumbang AS$12 juta kepada Pakatan untuk Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (Cepi) bagi tempoh empat tahun.
Pada 2024, Singapura menyumbang sebanyak S$24 juta kepada pelaburan pusingan sulung WHO bagi mempertingkatkan perlindungan daripada kecemasan kesihatan.
Pada tahun sama, Singapura turut menyediakan kit diagnostik dan bekalan ujian untuk penyakit mpox, sekali gus membolehkan sehingga 50,000 ujian dijalankan bagi menyokong usaha menangani mpox oleh CDC Afrika.
