Jumlah kes mengintai atau voyeurisme, termasuk mengambil gambar bawah skirt, merakam atau mengambil gambar individu dalam persekitaran peribadi, telah meningkat daripada 476 kes pada 2023 kepada 519 kes pada 2024.
Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), voyeurisme salah satu jenayah paling membimbangkan pada tahun 2024 semasa membentangkan laporan jenayah tahunan untuk tahun itu.
Jenayah voyeurisme membentuh 2.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal yang dilaporkan.
Menurut polis, sejumlah 19,969 kes jenayah fizikal dilaporkan pada Januari hingga Disember 2024.
Selain kes mengintai, laporan tersebut menarik perhatian kes curi dan kes mencabul kehormatan sebagai antara jenayah yang paling membimbangkan.
Polis juga berkongsi tempat di mana jenayah voyeurisme ini sering berlaku, termasuk di premis kediaman, pusat beli-belah, dan pengangkutan awam.
Kes yang berlaku di premis kediaman naik daripada 151 kes (2023) kepada 162 kes (2024).
Kes yang berlaku di pengangkutan awam turut naik daripada 56 kes (2023) kepada 69 kes (2024).
Sementara itu, kes yang berlaku di pusat beli-belah telah turun, daripada 84 kes pada 2023 kepada 80 kes pada 2024.
Dalam kalangan kes-kes tersebut, kira-kira 76.5 peratus kes voyeurisme di rumah dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa, termasuk teman lelaki, bekas teman lelaki, ahli keluarga atau penyewa.
Sebaliknya, pelaku biasanya tidak dikenali apabila jenayah ini berlaku di tempat awam seperti pusat beli-belah dan pengangkutan awam.
Sebagai langkah pencegahan, SPF telah memperkenalkan pelbagai inisiatif terutama di stesen MRT seperti memaparkan mesej nasihat tentang voyeurisme di stesen MRT dan menyiarkan mesej antivoyeurisme semasa waktu sibuk.
Selain itu, kempen “Spot It. Report It.” turut dijalankan, dengan nasihat pencegahan jenayah dipamerkan di pusat pertukaran MRT.
“Kami juga bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Persatuan Bilik Air Singapura (RAS) untuk memperkenalkan garis panduan reka bentuk keselamatan bagi tandas awam (termasuk menempatkan kamera CCTV secara strategik di pintu masuk tandas dan sistem pencahayaan yang dipertingkat),” kata jurucakap SPF.
Dalam pada itu, SPF juga menekankan peranan penting masyarakat untuk lebih peka dan segera melaporkan kejadian mencurigakan bagi mencegah kejadian jenayah ini daripada berulang.
“Ia juga penting bagi orang ramai untuk mengiktiraf peranan pencegahan yang boleh mereka mainkan. Mereka boleh memastikan masyarakat mereka selamat dengan melaporkan perbuatan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan awal,” ujar jurucakap SPF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg