Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes pelayan komputer mungkin berisi cip Nvidia: Tuduhan baru ke atas tiga tertuduh

Mungkin ada lagi terlibat, CAD sedang rakam kenyataan dan dapatkan bantuan agensi penguatkuasaan undang-undang negara lain untuk dedah lebih banyak bukti
Mar 6, 2025 | 5:27 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pada 3 Mac bahawa pelayan komputer itu berkemungkinan mengandungi item yang tertakluk kepada kawalan eksport oleh Amerika.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pada 3 Mac bahawa pelayan komputer itu berkemungkinan mengandungi item yang tertakluk kepada kawalan eksport oleh Amerika. - Foto ST

Pendakwa raya pada 6 Mac mengemukakan pertuduhan baru ke atas tiga lelaki yang dikatakan ada kaitan dengan pelayan komputer yang dieksport ke Malaysia yang mungkin mengandungi cip Nvidia.

Warga Singapura Aaron Woon Guo Jie, 40 tahun, dan Alan Wei Zhaolun, 48 tahun, dikenakan satu pertuduhan penipuan yang kedua setiap seorang, selepas Jabatan Ehwal Komersial (CAD) menemui bukti lanjut.

Dua lelaki itu dituduh melakukan penipuan ke atas Supermicro, sebuah pembekal pelayan beribu pejabat di Amerika Syarikat, dengan membuat pernyataan palsu bahawa item itu tidak akan dipindahkan kepada orang lain selain penerima konsain utama pengguna akhir yang dibenarkan, lapor The Straits Times.

Pertuduhan penipuan pertama mereka bagi menipu pembekal satu lagi pelayan dengan cara yang sama telah dipinda, dengan pembekal itu kini dikenal pasti sebagai firma perisian komputer Dell.

Pasangan itu bekerja di Aperia Cloud Services, syarikat teknologi berpangkalan di Singapura. Wei adalah ketua eksekutif syarikat itu sementara Woon ketua pegawai operasinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada 2024.

Kes Wei dan Woon telah ditangguhkan ke 13 Mac.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya Ng Yiwen berkata mungkin terdapat orang lain yang berkepentingan dikaitkan dengan kes itu, sambil menambah bahawa penyiasat CAD sedang merakam kenyataan daripada individu tersebut.

Secara keseluruhan, penyiasat merampas 42 peranti, yang terdiri daripada telefon dan komputer. Barangan itu kini sedang diperiksa oleh pakar forensik, kata pihak pendakwa.

Penyiasat daripada CAD juga telah meminta penyata bank dari pelbagai institusi kewangan, untuk mengesan pergerakan dana yang dikaitkan dengan dua lelaki itu.

Kenyataan lanjut daripada saksi sedia ada juga akan direkodkan, sedang CAD mendapatkan bantuan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang dalam bidang kuasa asing tertentu untuk mendedahkan lebih banyak bukti, kata Encik Ng.

Pendakwa raya memohon reman lapan hari lagi untuk Wei dan Woon, yang menghadiri perbicaraan melalui pautan video.

Lelaki ketiga yang dikaitkan dengan kes itu, Li Ming, seorang warga China, turut dihadapkan dengan pertuduhan kedua.

Li, yang juga muncul melalui pautan video, dituduh mendapatkan akses kepada satu akaun bank OCBC untuk membuat dan menerima pemindahan untuk syarikat yang dikawalnya, Luxuriate Your Life.

Lelaki berusia 51 tahun itu sudah menghadapi pertuduhan penipuan yang dikatakan dilakukan pada 2023 ke atas Supermicro.

Dia didakwa membuat pernyataan palsu bahawa Luxuriate Your Life akan menjadi pengguna akhir barang yang tidak dikenal pasti.

Ketiga-tiga lelaki itu pertama kali didakwa pada 27 Februari dengan setiap seorang dikenakan satu pertuduhan penipuan.

Siasatan di Singapura dibuat selepas satu maklumat mengenai pelayan komputer yang mungkin mengandungi cip Nvidia dieksport ke Malaysia, dan mungkin ke destinasi akhir yang tidak diketahui.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pada 3 Mac bahawa pelayan itu berkemungkinan mengandungi item tertakluk kepada kawalan eksport oleh Amerika.

Pemerintah Amerika pada 2022 mengenakan beberapa kawalan eksport untuk menyekat penjualan cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi ke China.

Encik Shanmugam berkata pihak berkuasa di Singapura sedang menyiasat sama ada Malaysia adalah destinasi terakhir pelayan itu atau ia dihantar ke tempat lain.

Beliau menambah bahawa jika terdapat pernyataan palsu di Singapura mengenai destinasi akhir pelayan itu, maka satu kesalahan di bawah undang-undang Singapura telah dilakukan.

Encik Shanmugam berkata jika pelayan itu memang mengandungi item terkawal eksport Amerika, Singapura akan menyokong siasatan Amerika, sambil menambah bahawa Republik ini mempunyai undang-undang yang baik untuk menangani situasi domestik itu.

Beliau berkata syarikat yang beroperasi di Singapura dikehendaki mengambil kira kawalan eksport sehala negara lain yang terpakai ke atas kegiatan perniagaan antarabangsa mereka, dan menjalankan perniagaan mereka secara telus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg