Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelayan komputer mungkin berisi cip Nvidia dieksport ke M’sia tuju ke destinasi lain

Mar 3, 2025 | 6:36 PM
Pelayan komputer yang dikaitkan dengan kes penipuan di Singapura melibatkan tiga orang didakwa mungkin mengandungi cip Nvidia, kata  Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, ketika ditemui media pada 3 Mac.
Pelayan komputer yang dikaitkan dengan kes penipuan di Singapura melibatkan tiga orang didakwa mungkin mengandungi cip Nvidia, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, ketika ditemui media pada 3 Mac. - Foto ST

Pelayan komputer yang dikaitkan dengan kes penipuan di Singapura melibatkan tiga orang ditangkap dan didakwa mungkin mengandungi cip Nvidia, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Beliau berkata siasatan yang sedang dijalankan adalah berdasarkan maklumat tanpa nama dan bukan dari sebarang negara atau agensi pemerintah.

“Terdapat spekulasi yang mengaitkan kes ini dengan kemungkinan mengelakkan kawalan eksport Amerika Syarikat bagi cip Nvidia.

“Kes ini tidak berkaitan. Ia adalah siasatan bebas yang dijalankan oleh Singapura.

“Kami menerima maklumat secara tidak bernama. Ia bukan maklumat daripada sebarang negara atau agensi pemerintah, tetapi kami mengambil maklumat tersebut dengan serius.

“Siasatan menunjukkan potensi pelanggaran undang-undang domestik kami, dan oleh itu kami bertindak segera untuk mengatasinya,” kata Encik Shanmugam.

Berkongsi demikian ketika ditemui media pada 3 Mac, Encik Shanmugam menambah bahawa pelayan komputer yang berisi cip yang tertanam adalah dari syarikat Super Micro Computer Inc. dan Dell Technologies Inc., dan dibekalkan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, sebelum menuju ke Malaysia.

Namun, pada masa ini, beliau tidak dapat memastikan bahawa destinasi terakhir pelayan komputer tersebut adalah Malaysia atau tempat lain.

“Berdasarkan dokumen yang kami miliki sekarang, pelayan-pelayan tersebut dibekalkan oleh Dell dan Supermicro, tetapi pelayan-pelayan itu mungkin ditujukan untuk negara lain.

“Jika terdapat pernyataan palsu di Singapura mengenai destinasi akhir, ia adalah satu kesalahan mengikut undang-undang Singapura,” kata Encik Shanmugam di bangunan The Treasury di High Street.

Tiga lelaki dikenakan dakwaan penipuan pada 27 Februari dalam kes yang didakwa berkaitan pembuat cip Nvidia.

Ini selepas Singapura menjadi tumpuan dalam siasatan Amerika Syarikat mengenai sama ada syarikat pemula China, DeepSeek, mengelakkan sekatan Amerika terhadap cip Nvidia lanjutan dengan membelinya daripada pihak ketiga di negara lain, termasuk Singapura.

Mereka adalah warga Singapura Aaron Woon Guo Jie, 41 tahun, dan Alan Wei Zhaolun, 49 tahun; serta warga China, Li Ming, 51 tahun.

Encik Shanmugam berkata Singapura telah meminta Amerika dan Malaysia berkongsi maklumat yang dapat membantu dalam siasatannya.

Beliau berkata Singapura mempunyai kerjasama baik dan lama terjalin dengan agensi penguatkuasa undang-undang di Amerika dan Malaysia.

Jika pelayan komputer itu mengandungi barangan yang dikawal eksport Amerika, beliau menambah bahawa Singapura bersedia bekerjasama dan menyokong sebarang siasatan di Amerika berkenaan perkara itu.

Beliau juga berharap semua syarikat beroperasi di Singapura dapat mengambil kira kawalan eksport sepihak negara lain berkaitan kegiatan perniagaan antarabangsa mereka.

Di samping itu, beliau ingin syarikat beroperasi di Singapura menjalankan perniagaan mereka secara telus.

“Beberapa soalan timbul tentang bagaimana Singapura melayan syarikat beroperasi di Singapura. Kami adalah hab perniagaan antarabangsa yang dipercayai, terbuka, dan terangkum dengan undang-undang kukuh.

“Kami mengalu-alukan perniagaan berwibawa beroperasi dari sini, menjadi sebahagian daripada persekitaran perniagaan kami, dan menyumbang kepada pertumbuhan kami.

“Tetapi kami tidak akan bertolak ansur dengan individu dan syarikat yang melanggar undang-undang kami, atau mengambil kesempatan daripada hubungan mereka dengan Singapura untuk mengelakkan kawalan eksport negara lain,” ujar Encik Shanmugam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg