Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MTI tentang DeepSeek: Nvidia harus patuh sekatan AS, undang-undang S’pura

Feb 1, 2025 | 7:32 PM
Nvidia menyatakan “tiada sebab untuk mempercayai bahawa DeepSeek memperoleh sebarang produk terkawal eksport dari Singapura.
Nvidia menyatakan “tiada sebab untuk mempercayai bahawa DeepSeek memperoleh sebarang produk terkawal eksport dari Singapura. - Foto AFP

Singapura sentiasa menegakkan undang-undang dan peraturan yang diperkenalkan di samping bertindak tegas dalam menangani individu dan syarikat yang melanggar peraturan.

Lantaran itu, ia menjangkakan syarikat teknologi Amerika Syarikat, Nvidia, mematuhi kawalan eksport di negara berkenaan dan undang-undang Singapura.

Mengulas isu syarikat baru China, DeepSeek, yang dikatakan berkemungkinan memperolehi cip Nvidia termaju melalui pengantara di Singapura, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dalam kenyataannya pada 1 Februari, berkata:

“Nvidia, pereka cip Kecerdasan Buatan (AI) terkemuka, telah menyatakan bahawa tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa DeepSeek memperoleh sebarang produk terkawal eksport dari Singapura.

“Kami menjangkakan syarikat Amerika, seperti Nvidia, mematuhi kawalan eksport Amerika dan undang-undang domestik kami. Kastam dan agensi penguatkuasaan undang-undang kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan mereka di Amerika.”

Singapura telah menjadi tumpuan dalam siasatan Amerika, bagi mengenal pasti sama ada DeepSeek, dengan prestasi model AI-nya yang menarik perhatian dunia, telah memintas sekatan Amerika ke atas cip Nvidia canggih dengan membelinya daripada pihak ketiga di negara lain, termasuk Singapura.

Penggubal undang-undang Amerika telah menjuruskan perhatian pada Singapura dalam sepucuk surat yang menggesa Penasihat Keselamatan Negara yang dipilih Presiden Amerika, Encik Donald Trump, Encik Mike Waltz, agar mengenakan ketetapan pelesenan yang ketat ke atas negara-negara lain jika mereka tidak bersedia membanteras penghantaran barangan ke China.

Pemerhatian terperinci terhadap Singapura dipertingkatkan selepas laporan kewangan Nvidia terkini menunjukkan bahawa 22 peratus daripada kenyataan bil suku ketiganya adalah kepada Singapura, menjadikan negara ini sebagai pembeli terbesar cipnya selepas Amerika.

Jurucakap Nvidia, pada 29 Januari, berkata pendapatan syarikat yang dikaitkan dengan Singapura itu “tidak menunjukkan lencongan kepada China”.

“Pemfailan awam kami menunjukkan bil ditujukan kepada dan bukan dihantar ke lokasi pelanggan kami.

“Ramai pelanggan kami mempunyai entiti perniagaan di Singapura dan menggunakan entiti tersebut bagi produk yang ditujukan untuk Amerika dan negara Barat. Kami menegaskan bahawa rakan kongsi kami mematuhi semua undang-undang yang terpakai, dan jika kami menerima sebarang maklumat yang bertentangan, kami bertindak sewajarnya.” jelasnya.

Dalam kenyataannya, MTI juga akur sebagaimana yang dijelaskan Nvidia sebelum ini bahawa “kebanyakan penghantaran yang dikaitkan dengan hasil Singapura adalah ke lokasi selain Singapura, dan penghantaran ke Singapura tidak penting”.

“Singapura adalah hab perniagaan antarabangsa. Syarikat utama Amerika dan Eropah mempunyai operasi penting di sini. Nvidia telah menjelaskan bahawa ramai daripada pelanggan ini menggunakan entiti perniagaan mereka di Singapura untuk membeli cip bagi produk yang ditujukan bagi Amerika dan negara Barat lain,” tambah MTI.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg