Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes pemecatan di SingPost: Mantan eksekutif kanan alu-alu jika ada siasatan bebas

Jan 3, 2025 | 6:51 PM
Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias) berkata pemecatan mengejut tiga eksekutif kanan SingPost serta penafian tegas mereka terhadap tuduhan yang dikenakan, telah menimbulkan pelbagai persoalan.
Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias) berkata pemecatan mengejut tiga eksekutif kanan SingPost serta penafian tegas mereka terhadap tuduhan yang dikenakan, telah menimbulkan pelbagai persoalan. - Foto fail

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan mantan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Singapore Post berkata mereka mengalu-alukan jika diadakan siasatan bebas terhadap kes yang membawa kepada pemecatan mereka, menurut satu kenyataan pada 3 Januari.

Mantan CEO Kumpulan, Encik Vincent Phang dan mantan CFO Kumpulan, Encik Vincent Yik, memberikan respons kepada gesaan Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias) agar diadakan siasatan profesional serta bebas terhadap kejadian yang menyebabkan pemecatan mereka pada 21 Disember, lapor The Straits Times (ST).

CEO unit perniagaan antarabangsa syarikat itu, Encik Li Yu, turut dipecat.

Mereka dipecat kerana didapati “terlalu cuai” dalam mengendalikan siasatan dalaman berhubung laporan pemberi maklumat yang diterima oleh syarikat tersebut.

“Kami ingin menyatakan bahawa kami mengalu-alukan sebarang siasatan bebas, termasuk daripada badan pengawal selia atau pihak berkuasa lain, dan kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” kata Encik Phang dan Encik Yik.

Pada 2 Januari, Sias berkata pemegang saham berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kerana pemecatan mengejut tiga eksekutif kanan SingPost itu serta penafian tegas mereka terhadap tuduhan yang dikenakan telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Sias, Encik David Gerald, juga menegaskan bahawa terdapat percanggahan antara apa yang SingPost katakan mengenai ketiga-tiga eksekutif itu dengan apa yang dikatakan oleh eksekutif berkenaan berhubung diri masing-masing.

Percanggahan itu berkaitan dengan kekerapan dan situasi eksekutif membuat kenyataan yang mengelirukan mengenai laporan pemberi maklumat.

“Kami mempunyai perbezaan asas dalam pendirian yang diambil oleh kedua-dua parti yang bertentangan. (Satu-satunya) cara untuk menyelesaikannya dengan betul ialah melalui siasatan bebas,” kata Encik Gerald.

Ketiga-tiga eksekutif itu telah membantah pemecatan mereka, yang menurut mereka tidak adil dan tanpa merit.

SingPost berkata pada 2 Januari bahawa ia juga bersedia berbincang dengan Sias mengenai keputusannya memecat ketiga-tiga eksekutif tersebut selepas permintaan Sias untuk siasatan, menurut laporan media.

Ia menambah bahawa ia telah memenuhi kewajipan pendedahannya “sambil mengambil kira untuk tidak menjejaskan sebarang prosiding undang-undang,” kata laporan itu.

SingPost mula menerima laporan pemberi maklumat pada 17 Januari 2024, dan siasatan yang dijalankan oleh juruaudit dalaman SingPost pada hari itu.

Siasatan berkaitan dengan orang dalam unit perniagaan antarabangsa yang telah memasukkan secara manual kod status “DF” (kegagalan penghantaran) berkenaan dengan sejumlah besar bungkusan yang SingPost telah setuju untuk hantar.

Kod tersebut menunjukkan bahawa penghantaran telah cuba dilakukan tetapi gagal, namun didakwa tiada percubaan penghantaran yang dilakukan.

SingPost juga telah menjalankan siasatan berkaitan tingkah laku pengurusan dalam menangani siasatan terhadap laporan pemberi maklumat, yang membawa kepada pemecatan Encik Phang, Encik Yik, dan Encik Li.

SingPost mengumumkan secara rasmi pemecatan tersebut di Bursa Singapura pada 22 Disember.

Saham SingPost didagangkan pada 55 sen sekitar 5 petang pada 3 Januari, satu peningkatan berbanding 50 sen yang dicatatkan pada 23 Disember selepas berita tersebut tersebar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg