Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias) meminta agar siasatan profesional bebas dijalankan untuk menyelidik keadaan yang membawa kepada pemecatan tiga eksekutif Singapore Post (SingPost), kerana pemegang saham berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
“Pemecatan mendadak tiga eksekutif kanan SingPost, bersama dengan penafian tegas mereka terhadap tuduhan tersebut, telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pemegang saham, pelabur dan pasaran,” kata presiden dan ketua eksekutif Sias, Encik David Gerald, dalam kenyataan media pada 2 Januari, lapor The Straits Times (ST).
“Oleh kerana mereka diarahkan supaya keluar serta-merta, ini menunjukkan pelanggaran peraturan yang sangat serius dan memerlukan penjelasan terperinci.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SingPost, Encik Vincent Phang; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan, Encik Vincent Yik; dan CEO unit perniagaan antarabangsa (IBU) syarikat, Encik Li Yu, dipecat pada 21 Disember selepas siasatan berhubung laporan pemberi maklumat selesai.
Laporan tersebut mendakwa bahawa kod status penghantaran pada bungkusan untuk pelanggan e-dagang antarabangsa telah diubah secara palsu kepada “kegagalan penghantaran”, namun tiada percubaan penghantaran dibuat bagi mengelakkan denda.
SingPost mendedahkan dalam pemfailan bursa pada 22 Disember bahawa ia menerima laporan pemberi maklumat pada awal 2024 mengenai perniagaan logistik e-dagang antarabangsa.
Beberapa hari kemudian, SingPost berkongsi lebih banyak maklumat, termasuk garis masa kejadian dan siasatan terhadap laporan serta tindakan pengurusan.
Harga saham SingPost jatuh daripada 56 sen kepada 50 sen pada 23 Disember selepas berita tersebut tersebar. Ia telah pulih sedikit kepada 54 sen pada 2 Januari.
“Pemegang saham berhak mendapat penjelasan yang lebih baik agar semua pihak dapat membuat keputusan pelaburan yang tepat,” kata Encik Gerald.
Beliau bertanya sama ada lembaga pengarah adalah badan yang sesuai untuk memimpin siasatan, memandangkan dakwaan tersebut sangat serius.
Beliau turut mempersoalkan sama ada jabatan audit dalaman SingPost mempunyai kemahiran dan kepakaran yang diperlukan untuk menjalankan siasatan secara objektif.
Pada 17 Januari 2024, SingPost menerima laporan daripada pemberi maklumat buat kali pertama, dan siasatan oleh juruaudit dalaman SingPost bermula pada hari yang sama.
Pada 11 Mac dan 3 April, jawatankuasa audit bertemu dan membincangkan dapatan oleh juruaudit dalaman.
Pada 19 April, jawatankuasa audit melantik penyedia perkhidmatan forensik untuk menyemak dan memberi nasihat mengenai perkara yang dinyatakan dalam laporan tersebut.
SingPost dalam responsnya kepada pemegang saham pada 29 Disember berkata Encik Phang, Encik Yik dan Encik Li telah diberikan laporan serta dimaklumkan mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh juruaudit dalaman, namun mereka telah membuat tafsiran yang salah pada tiga kesempatan antara 11 Mac dengan 3 April.
Namun, Encik Phang dan Encik Yik, dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media pada 31 Disember, berkata mereka hanya diminta memberi pandangan pada 11 Mac dan 3 April, dan memberikan jawapan berdasarkan fakta yang diberikan kepada mereka ketika itu.
Mereka juga menyatakan bahawa hanya pada 27 April, apabila siasatan pasukan forensik luar didedahkan, barulah mereka mengetahui sepenuhnya mengenai perkara tersebut.
Ketiga-tiga eksekutif tersebut mencabar pemecatan mereka oleh SingPost, yang mereka anggap sebagai tidak adil dan tidak wajar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg