Pihak polis tidak memaklumkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengenai kes ‘pempengaruh agama’ berusia 37 tahun yang melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki muda pada 2024 kerana individu tersebut bukan seorang asatizah berdaftar, dan tidak memegang sebarang jawatan rasmi, peranan atau pertalian dengan masjid.

Individu itu juga telah direman dan tidak lagi menimbulkan ancaman aktif kepada masyarakat, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.

Penjelasan ini disampaikan bagi menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat di sidang Parlimen pada 8 September.

Encik Saktiandi mengutarakan soalan mengenai sama ada maklumat berkaitan kes itu boleh dikongsi dengan MUIS lebih awal, terutamanya memandangkan terdapat dakwaan terdahulu terhadap pesalah pada 2021, melibatkan tuduhan melakukan kesalahan mencabul kehormatan seorang remaja berusia 17 tahun.

Sebagai respons Encik Goh berkata:

“Berdasarkan fakta kes ketika itu (2021), pihak polis membuat penilaian bahawa tiada kepentingan awam yang mendesak untuk mendedahkan kesalahan tersebut.

“Pada 2024 pula, pertimbangannya agak berbeza disebabkan oleh dakwaan rogol yang serius.

“Oleh itu, pihak polis bertindak pantas dengan menahan individu berkenaan pada hari yang sama, mendakwanya di mahkamah, dan tertuduh direman sejak itu.

“Sewaktu individu tersebut ditahan pada 2024, pihak polis tidak memaklumkan kepada MUIS kerana pertimbangannya adalah serupa dengan 2021, iaitu individu berkenaan bukanlah seorang asatizah berdaftar.”

Dalam kes yang berlaku pada 2021, siasatan lanjut diperlukan untuk memutuskan sama ada individu tersebut boleh dituduh, kata Encik Goh.

Dakwaan terhadap individu itu telah dinafikan dan beliau tidak mempunyai rekod kesalahan serupa sebelum ini.

Justeru, Encik Goh menambah individu itu dibebaskan dengan jaminan, berserta syarat-syarat jaminan berikut: melaporkan diri di tempat dan masa seperti yang diarahkan; tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang tempoh jaminan; dan tidak mengganggu mana-mana saksi atau menghalang perjalanan keadilan.

“Sejak dibebaskan dengan jaminan, individu berkenaan melaporkan diri kepada pihak polis secara berkala seperti yang ditetapkan,” kongsi Encik Goh.

Encik Goh berkata, dalam kebanyakan kes, pesalah yang dituduh di mahkamah mesti ditawarkan jaminan melainkan kesalahan itu adalah jenis yang tidak boleh dijamin.

Ini sekali gus menegaskan prinsip asas sistem keadilan jenayah Singapura bahawa seseorang individu itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.