Pendaki dan penunggang basikal yang didapati menyimpang dari laluan yang ditetapkan di kawasan alam semula jadi semakin berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata Lembaga Taman Negara (NParks) kepada The Straits Times (ST).
Bilangan kes yang dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh NParks telah menurun daripada sekitar 430 kes pada 2021 – ketika sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19 – kepada lebih kurang 85 kes pada 2024, kata Pengarah Kumpulan Pemuliharaan NParks, Encik Lim Liang Jim.
Risiko kegiatan ini menarik perhatian ramai pada Jun apabila seorang lelaki terkena peluru ketika menunggang basikal bersama rakan-rakannya di kawasan larangan yang diwartakan untuk latihan menembak dalam Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.
Encik Lim berkata tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pengunjung yang mengabaikan amaran di papan tanda dan memilih untuk menyimpang dari laluan yang ditetapkan.
Sebilangan besar yang melakukan kesalahan ini dikenakan denda dan amaran, dan hanya segelintir didakwa di mahkamah.
Menurut pandangan pemandu alam semula jadi dan perunding, tindakan penguatkuasaan hanya mendedahkan sebahagian kecil sahaja daripada masalah sebenar.
Ini berdasarkan pengalaman mereka berdepan dengan penceroboh semasa menjalankan kajian hidupan liar.
Antara lokasi yang sering diceroboh termasuk Taman Alam Semula Jadi Rifle Range, Hutan Simpanan Bukit Timah dan Taman Alam Semula Jadi Chestnut.
Meskipun jumlah kes telah menurun, setiap pengunjung yang melanggar peraturan tetap berdepan risiko membahayakan diri sendiri serta menyebabkan kerosakan jangka panjang terhadap persekitaran dan hidupan liar di kawasan tersebut.
Encik Lim berkata pengunjung yang menyimpang dari laluan ditetapkan berisiko mengalami kecederaan jika tersesat, terjatuh, atau bertembung dengan hidupan liar seperti tebuan.
Usaha mendapatkan bantuan dalam situasi sebegini juga boleh menjadi sukar kerana kesukaran mengenal pasti lokasi sebenar individu terlibat, jelas Encik Lim.
Pada 2021, anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) terpaksa meredah sejauh dua kilometer untuk menyelamatkan seorang lelaki yang mendaki di luar laluan ditetapkan, sehingga terperangkap dalam cerun selama 90 minit.
Tindakan keluar dari laluan yang ditetapkan boleh menjejas kawasan alam semula jadi yang masih terpelihara.
Encik Lim berkata: “(Perbuatan) keluar daripada laluan yang ditetapkan boleh mengakibatkan kerosakan pada lantai hutan di laluan sekelilingnya.”
“Aktiviti manusia di kawasan ini juga boleh memberi kesan pada pergerakan haiwan, atau menyebabkan anak pokok dipijak – termasuk spesies yang mungkin diancam kepupusan.”
Pakar pemuliharaan mencadangkan agar usaha pendidikan dipertingkatkan dan renjer masyarakat dilantik bagi membantu mencegah orang ramai daripada menyimpang daripada laluan yang dibenarkan.
Mereka yang didapati menyimpang dari laluan ditetapkan di kawasan hutan simpanan boleh dikenakan denda hingga $2,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg