Semua protokol keselamatan dipatuhi semasa kegiatan menembak dengan peluru betul di lapangan menembak Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Nee Soon apabila seorang penunggang basikal terkena peluru pada 15 Jun.
Dengan itu, kegiatan menembak akan disambung semula serta-merta, dengan sesi seterusnya dijadual berlangsung pada 26 Jun.
Dalam kemas kini kementerian tersebut pada 23 Jun, Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan bahawa hasil siasatan SAF menunjukkan semua arahan latihan, protokol keselamatan dan langkah kawalan yang relevan telah dipatuhi semasa kegiatan menembak sedang berlangsung.
Senjata, peluru, kedudukan menembak dan susun atur sasaran juga mematuhi garis panduan yang ditetapkan SAF, tambahnya.
Lelaki berusia 42 tahun itu terkena peluru semasa berada di kawasan yang telah diwartakan bagi kegiatan menembak SAF ketika beliau berbasikal bersama rakan-rakannya di kawasan larangan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah (CCNR) yang terletak antara Kolam Air Upper Seletar dengan Kolam Air Upper Peirce.
Ketika kejadian itu berlaku, SAF sedang menjalankan kegiatan menembak yang dibenarkan sekitar 2.3 kilometer dari lokasi kejadian.
Dalam kenyataannya, Mindef turut menjelaskan bahawa lokasi kegiatan menembak tersebut direka dan dibina mengikut piawaian keselamatan antarabangsa, serta disahkan untuk penggunaan senjata seperti mesingan pelbagai guna dan senapang.
Ia menambah bahawa kawasan larangan itu merangkumi zon penampan keselamatan sekiranya ada peluru terpesong.
Ketetapan itu berdasarkan ujian dan simulasi trajektori yang disesuaikan dengan jenis tembakan yang dijalankan, lapor The Straits Times (ST).
“SAF mengekalkan rangka kerja keselamatan yang kukuh bagi memastikan kegiatan menembak dengan peluru hidup dijalankan secara selamat dan akan terus bekerjasama dengan Lembaga Taman Negara (NParks) bagi memastikan langkah keselamatan, serta amaran kepada orang awam mengenai kawasan larangan, terus dikuatkuasakan.
“SAF memohon kerjasama orang awam agar tidak menceroboh kawasan larangan demi keselamatan diri mereka sendiri.
“Aksi menceroboh kawasan seperti itu juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Gerakan Tentera,” tambah kenyataan itu.
Dengan itu, penunggang basikal terbabit kini disiasat atas kesalahan menceroboh dengan sengaja.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg