Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes seleweng $72j: Lelaki S’pura, isteri kerap tukar identiti, pindah-randah

Penahanan berikutan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Biro Siasatan Amalan Rasuah
Dec 5, 2024 | 1:25 PM
Suspek diserahkan kepada pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura di sempadan Tambak Johor pada 3 Disember.
Suspek diserahkan kepada pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura di sempadan Tambak Johor pada 3 Disember. - Foto SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang usahawan Singapura, Ng Teck Lee, yang terbabit dalam kes penyelewengan dana $72 juta, dan isterinya, Thor Chwee Hwa, yang kedua-duanya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas 19 tahun bersembunyi di negara itu, didakwa sering menukar identiti.

Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka, yang ditahan pada 3 Disember, juga dikatakan sering berpindah-randah serta bertukar alamat.

Mereka turut difahamkan dibantu individu tertentu sepanjang menjadi buruan.

Mengesahkan demikian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pasangan itu, bagaimanapun, berjaya dikesan dan kemudian ditahan hasil kecekapan pegawai suruhanjaya itu, walaupun mereka berdepan kesukaran kerana modus operandi suspek yang sentiasa bertukar identiti.

“Ini hasil kerjasama dua negara di mana terdapat undang-undang yang membolehkan penguat kuasa menangkap pelarian warga Singapura sekiranya terdapat permohonan daripada negara itu,” katanya sambil menambah bahawa permohonan Singapura diterima pada awal 2024.

Tan Sri Azam berkata pada 4 Disember bahawa Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura turun sendiri ke ibu pejabat SPRM bagi membincangkan kes tersebut secara terperinci sebelum menghantar permohonan rasmi bagi pelaksanaan waran tangkap itu.

Prosedur tersebut mengikut Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 (Akta 25).

Pasangan berkenaan ditahan di Johor Bahru selepas melarikan diri sejak 2005 selepas Ng, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat kitar semula, Citiraya Industries, yang telah gulung tikar, didakwa menyalahgunakan dana AS$51 juta ($72 juta).

Citiraya Industries, yang terbabit dalam perniagaan kitar semula sisa elektronik untuk mendapatkan logam berharga, mempunyai pelanggan besar seperti AMD, Intel dan Infineon.

Ng didakwa menyalahgunakan bahan buangan elektronik terbabit dengan menjualnya kepada sindiket di Taiwan dan Hong Kong, bukan memprosesnya seperti yang sepatutnya.

Siasatan mendapati Ng, bersama ketua pegawai kewangan syarikat itu dan beberapa kakitangan lain, berkomplot dalam penjualan 62 penghantaran (sekitar 89 tan) sisa elektronik antara 2003 dengan 2004. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg